Gambar hiasan
Gambar hiasan
BERNAMA

TIDAK sampai tiga jam selepas tiga lelaki memecah masuk dan melarikan barangan berharga dari sebuah rumah di Taman Perai Jaya, Bukit Mertajam semalam, mereka ditahan polis di kawasan perumahan sama.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid berkata, ketiga-tiga lelaki berusia 22 hingga 29 tahun itu ditahan dalam serbuan di dua rumah di taman sama jam 4.30 petang.

“Dalam kejadian jam 1.40 tengah hari itu, penghuni rumah itu baru sampai di rumah sewanya dan mendapati terdapat kesan umpil dan sebaik masuk ke dalam keadaan berselerak.

“Mangsa membuat pemeriksaan dan mendapati banyak barangan hilang antaranya televisyen, pemain DVD, barangan elektrik, dapur gas dan tong gas.

“Lelaki itu membuat laporan polis berhubung kejadian berkenaan,” katanya hari ini.

Katanya, hasil maklumat dan risikan, polis berjaya menahan ketiga-tiga lelaki itu serta merampas pelbagai barangan hasil kegiatan pecah rumah serta peralatan yang digunakan untuk aktiviti itu seperti spanar serta sejumlah kunci.

Nik Ros Azhan berkata, siasatan awal mendapati suspek itu turut terbabit dalam beberapa kes pecah rumah di sekitar SPT dan Kulim, Kedah sejak tahun lalu.

“Mereka yang tidak bekerja itu dipercayai menjual barangan curi itu kepada seorang lelaki dan polis kini giat mengesan suspek berkenaan bagi membantu siasatan,” katanya.

Katanya, mereka direman empat hari bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana memecah masuk serta mencuri.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, polis menahan dua lelaki dipercayai anggota kumpulan mencuri motosikal dan merampas dua motosikal curi dalam serbuan di sebuah rumah di Jalan Kebun Sireh semalam.

“Hasil pemeriksaan di dalam rumah itu polis menemui dua motosikal iaitu Kawasaki KR150 dan Honda Ex-5 dipercayai dicuri mereka dan disimpan di situ sebelum dijual kepada pembeli pada harga murah,” katanya.

Katanya, siasatan awal mendapati kedua-dua suspek yang positif dadah itu dipercayai terbabit dalam sekurang-kurangnya 10 kes curi motosikal di SPT sejak awal tahun ini dan mereka direman empat hari bagi membantu siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Februari 2019 @ 9:54 PM