Barangan yang dirampas daripada suspek yang ditahan. FOTO ihsan PDRM
Barangan yang dirampas daripada suspek yang ditahan. FOTO ihsan PDRM
Shamsul Munir Safini


Bukit Mertajam: Lelaki berusia 22 tahun ditahan selepas mengumpil pintu kereta di Bukit Minyak, di sini, 5 pagi tadi.

Dalam kejadian itu, anggota polis yang melakukan rondaan terserempak dengan tiga lelaki sedang mengumpil pintu kereta Proton Savy di situ.

Ketua Polis Daearah Seberang Perai Tengah (SPT) Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, ketika dihampiri ketiga-tiga suspek sempat melarikan diri dengan menunggang dua motosikal.

Katanya, anggota polis mengejar suspek sebelum salah seorang daripada mereka terbabas dan dicekup manakala dua lagi berjaya melarikan diri.

"Ketika pemeriksaan dilakukan polis menemui peralatan mencuri seperti spanar allen key yang diubahsuai, spanar pembuka tayar, parang panjang, topi dengan logo JPJ serta jaket pantul cahaya tertulis PDI.

"Motosikal Yamaha 125Z yang ditunggang didapati motosikal curi yang dilaporkan hilang di Setiawan, Perak pada tahun ini," katanya.

Menurutnya, Suspek kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) SPT dan hasil siasatan awal mendapati suspek memiliki 10 rekod kesalahan lampau membabitkan dadah, curi motosikal dan kes pecah kenderaan.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana curi kenderaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Oktober 2016 @ 5:45 PM