Azhar turut membantu memindahkan penduduk. FOTO ihsan bomba
Azhar turut membantu memindahkan penduduk. FOTO ihsan bomba
Hazira Ahmad Zaidi


Kota Bharu: Lima keluarga mangsa banjir dari Kampung Tok Kundur, Bukit Awang, Pasir Puteh dipindahkan ke pusat pemindahan sementara di Sekolah Kebangsaan (SK) Wakaf Raja, Pasir Puteh hari ini.

Ia susulan kediaman mereka yang dinaiki air kira-kira setengah meter sejak pagi dan dikhuatiri meningkat, sekali gus membahayakan.

Operasi pemindahan itu dibantu Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) yang berakhir 2.30 petang.

Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kelantan, Mohammad Mohammad Hanafi Maulud berkata, kakitangannya mempersiapkan semua keperluan untuk lima keluarga berkenaan yang membabitkan 26 orang.

"Setakat ini baru satu pusat pemindahan sementara dibuka dan kita sentiasa bersedia sekira ia ditambah susulan hujan berterusan dan sesekali lebat yang diramal sehingga esok.

"Penduduk di kawasan yang rendah dan berisiko diminta berwaspada dan mendengar arahan pihak berkuasa," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Puteh, Penolong Penguasa Bomba Azhar Elmi Mustofar berkata, operasi pemindahan dibuat berikutan bahagian dapur rumah penduduk yang mula dinaiki air sehingga setengah meter.

"Risikonya kerana rumah mereka berada di kawasan rendah dan dikhuatiri berlaku limpahan anak Sungai Semerak," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Disember 2016 @ 5:47 PM