Anggota bomba memadamkan kebakaran kereta yang terbabit kemalangan jalan Kampung Banir Belikong, Bukit Abal, petang tadi. FOTO ihsan bomba
Anggota bomba memadamkan kebakaran kereta yang terbabit kemalangan jalan Kampung Banir Belikong, Bukit Abal, petang tadi. FOTO ihsan bomba
Azlan Hafeedz


Pasir Puteh: Lima sekeluarga berdepan detik mencemaskan apabila kereta Proton Waja dinaiki terbakar selepas berlanggar dengan Perodua Myvi di jalan Kampung Banir Belikong, Bukit Abal, di sini, 5 petang tadi.

Difahamkan, kejadian berlaku ketika kedua-dua kenderaan berkenaan dalam perjalanan menghala ke Kota Bharu.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Puteh, Azhar Elmi Mustofar berkata, pihaknya menerima panggilan kejadian itu pada 5.19 petang dan enam anggotanya diketuai Pegawai Bomba Kanan II Abdul Hadi Hassan ke tempat kejadian.

"Ketika tiba, api marak membakar kereta Proton Waja, manakala kereta Perodua Myvi tidak terbakar.

"Anggota bomba mengambil masa kira-kira 20 minit untuk memadam kebakaran dan semua lima sekeluarga dalam kereta Proton Waja berjaya menyelamatkan diri," katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata, punca kebakaran masih disiasat dan jumlah kerugian dianggarkan RM12,000.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Ogos 2016 @ 11:31 PM