GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP.
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP.
BERNAMA

Pasir Puteh: Seramai 27 individu daripada enam keluarga di Kampung Tok Kundur, di sini, terperangkap berikutan jalan masuk dan keluar ke kampung mereka diNaiki air, sedalam antara 1.3 hingga 1.5 meter akibat hujan lebat, sejak beberapa hari lalu.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Puteh Penolong Penguasa Bomba Azhar Elmi Mustofar berkata, mangsa terpaksa menggunakan sebuah sampan mengharungi air sejauh 800 meter ketika ingin mendapatkan barangan keperluan di pusat bandar di sini.

"Sehingga kini, barang-barang keperluan harian termasuk beras, sardin, gula dan teh, sudah dihantar bagi keperluan keluarga terbabit," katanya kepada pemberita ketika ditemui di sini, hari ini.

Azhar berkata, buat masa ini, kesemua mangsa masih dibenarkan tinggal di kediaman masing-masing memandangkan rumah mereka selamat untuk didiami.

"Buat masa ini, lebih baik mereka tinggal di rumah masing-masing daripada dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) bagi mengelak risiko jangkitan Covid-19," katanya menambah mangsa akan dipindahkan ke PPS sekiranya kediaman mereka dinaiki air.

Semalam, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran cuaca buruk dijangka berlaku di daerah Kota Bharu, Bachok, Pasir Puteh dan Kuala Krai di Kelantan, termasuk Maran, Kuantan dan Pekan di Pahang serta seluruh negeri Terengganu sehingga hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 November 2020 @ 1:00 PM