Keadaan laluan di Pasir Puteh yang sudah boleh digunakan selepas dilanda banjir. FOTO Azlan Hafeedz
Keadaan laluan di Pasir Puteh yang sudah boleh digunakan selepas dilanda banjir. FOTO Azlan Hafeedz
Azlan Hafeedz


Pasir Puteh: Banjir di Pasir Puteh semakin surut setakat 10.20 pagi, hari ini, namun empat pusat pemindahan sementara (PPS) masih beroperasi menempatkan 549 mangsa daripada 156 keluarga.

Kebanyakan laluan utama ke bandar juga boleh dilalui semua kenderaan berbanding semalam, susulan pengurangan hujan. Namun beberapa jalan kampung masih ditenggelami air.

Tiga laluan iaitu Jalan Jelor-Lubok Tualang dekat Cabang 3, Lubok Tualang; Jalan Padang Pak Amat dekat Kampung Merkang dan Jalan Pasir Puteh - Semerak masih ditutup kepada semua kenderaan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Puteh, Azhar Elmi Mustofa berkata, pihaknya masih tetap bersiap sedia bagi memastikan keadaan terkawal.

"Berbanding semalam, keadaan di sini semakin terkawal dengan beberapa laluan yang ditenggelami air mulai surut malam tadi.

"Namun langkah berjaga-jaga tetap diambil dan empat pusat masih beroperasi demi keselamatan penduduk," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Dalam pada itu, seorang mangsa banjir, Azman Hamzah, 46, berkongsi detik mencemaskan ketika menyelamatkan diri selepas rumahnya di Bukit Abal, di sini dinaiki air kira-kira 12 tengah hari semalam.

Azman berkata, dia terpaksa mengendong anaknya yang berusia 10 tahun di atas bahu manakala isteri Fazura Razak, 33, memegang tali pinggangnya bagi mengelak terlepas dan dibawa arus banjir.

"Mulanya air tidak tinggi mana, namun dalam tempoh lapan jam ia naik mendadak sehingga setengah meter menyebabkan kami bergegas keluar rumah.

"Saya kendong anak di bahu dan isteri berpaut pada tali pinggang dipakai memastikan pegangan tidak terlepas dan hanyut banjir. Ini pengalaman pertama kami menempuh banjir dan syukur semuanya selamat," katanya kini menghuni di PPS di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Maharaja Selising, di sini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 January 2017 @ 11:37 AM