FILEM Redha menerima anugerah Filem Terbaik pada Anugerah Skrin 2016. FOTO Rohanis Shukri
FILEM Redha menerima anugerah Filem Terbaik pada Anugerah Skrin 2016. FOTO Rohanis Shukri
Adam Salleh

Dua anugerah bagi merai penggiat seni tanah air kian menyusul, AIM dan AJL. Anugerah Industri Muzik (AIM) Ke-22 akan berlangsung pada 18 Disember di Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), sementara Anugerah Juara Lagu (AJL) Ke-31 pada 22 Januari 2017.

Yang pasti kedua-dua anugerah itu hanya menghargai penggiat seni di bidang nyanyian khususnya komposer. Lebih pasti untuk penggiat filem pula, dua anugerah didambakan mereka, anugerah mengukur siapakah di antara mereka yang terbaik iaitu Festival Filem Malaysia (FFM) Ke-28 dan Anugerah Skrin (ASK) Ke-18 sudah pun ‘bye-bye’ pada 18 November lalu di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya.

FFM28 berakhir pada 3 September di Dewan Plenary, Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC). Sebagaimana kita maklum berlaku kontroversi hangat berkaitan isu bahasa menjelang FFM28, lalu demi menjaga hati pihak tertentu, penganjur tidak mahu dicop rasis terpaksalah akur keputusan menteri lalu diwujudkan dua kategori bermatlamat sama, Filem Terbaik Nasional dan Filem Terbaik Malaysia.

Filem Munafik arahan Syamsul Yusof muncul Filem Terbaik Nasional, sementara filem Tamil tempatan, Jagat arahan Shanjhey Kumar Perumal muncul Filem Terbaik Malaysia. Melalui sembang rawak bersama kalangan pencinta filem tempatan, ramai masih keliru antara Munafik dan Jagat apabila dikait mengenai keputusan FFM28, lalu masing-masing memberi jawapan Munafik Filem Terbaik FFM28.

Jawapan itu nyata tidak tepat kerana Munafik meraih anugerah kategori Filem Terbaik Nasional. Ahhh.....! memang pening dibuatnya.

Sedang elok kategori Filem Terbaik (Bukan Di Dalam Bahasa Malaysia) diwujudkan dimansuhkan lalu digantikan Filem Terbaik Malaysia.

Ikut tradisi penganjuran, fitrahnya begini FFM akan bermula terlebih dulu disusuli ASK. FFM yang bermula sejak 1980 itu ibarat ‘abang long’ pada pelbagai festival dan anugerah hiburan tanah air. Justeru konsep penganjuran ASK yang diwujudkan TV3 mempunyai tempias FFM cuma kelainan ASK selain kategori Filem Terbaik ia membaitkan drama televisyen (TV) dan program hiburan dari pelbagai stesen TV.

Untuk ASK tempoh hari, filem ‘pecah panggung’ Ola Bola arahan Chiu Keng Guan tidak layak bertanding kerana bukan dalam bahasa Malaysia. Ketegasan penganjur ASK seharusnya dipuji kerana ia hanya pihak swasta, berbanding FFM mempunyai komitmen pihak kerajaan khususnya FINAS (Perbadanan Kemajuan Filem Nasional) di situ. Seharusnya FFM lebih tegas mendaulatkan bahasa kebangsaan.

Perihal bahasa ini menjadi kontroversi di FFM lalu apabila Ola Bola tersingkir secara automatik daripada merebut trofi Filem Terbaik kerana tidak menepati syarat penyertaan 70 peratus bahasa Malaysia. Bagaimanapun, filem terbitan Astro Shaw itu masih boleh lagi masuk gelanggang tapi bagi kategori Filem Terbaik Bukan Di Dalam Bahasa Malaysia untuk berentap dengan dua filem Cina dan dua filem Tamil termasuk Jagat.

Ola Bola punya hal, pelawak dan pengarah; Afdlin Shauki dengan lantang memboikot FFM28. Beberapa penggiat filem lain yang ‘sekepala dengan dia’ turut berapi komen di media sosial, lalu timbullah FFM28 dicop rasis. Apakah ada agenda tersembunyi atau krisis peribadi di sebalik kontroversi ini? Sebabnya yang ghairah mengapi-apikan isu ini adalah suku sakat yang mempunyai kaitan dengan penerbitnya.

Lalu pelbagai pihaklah diseret untuk mengupas isu ini dari Tan Sri Tony Fernandez, Datuk Seri Nazir Razak hinggalah ke menteri kerajaan dan pembangkang yang selama ini tidak pernah kita dengar dua tokoh korporat itu memberi komen mengenai filem tempatan.

Nyatalah FFM28 dipolitikkan jika kita berpaling ke filem lain yang bertanding kategori sama tidak kalut seperti Ola Bola. Dibandingkan ASK dan FFM, ikutkan penyertaan ASK boleh menerima pencalonan sama ada filem atau drama dari pelbagai bahasa.

Apatah lagi di bawah satu bumbung penganjur di Sri Pentas terdapat stesen sama ada radio dan TV dalam bahasa Cina, bagaimanapun kerana format ASK itu sudah termaktub sekian lama, hanya produk dalam bahasa Melayu saja layak bertanding bagi kategori Filem Terbaik.

Bagi mereka yang berperang emosi mengenai isu bahasa menjelang FFM lalu, sepatutnya boleh kemukakan protes sama mengapakah Ola Bola dan Jagat atau filem-filem bukan bahasa Malaysia yang bertanding di FFM28, tidak diterima bertanding dalam ASK tempoh hari.

Aneh pula, ASK lebih muda dari FFM tidak kecoh pun isu bahasa ini. Majoriti calon akur dengan ketegasan format penganjur ASK. Tiada cacat cela pun ASK sekalipun tanpa penyertaan filem-filem bukan dalam bahasa Melayu, bahkan promosi ASK itu lebih meriah berbanding FFM.

Implikasi mengenai Filem Terbaik Malaysia ini jelas. Katakanlah filem Jagat mewakili Malaysia ke festival luar negara umpamanya ke Anugerah Akademi (Oscar) bertanding bagi Filem Bahasa Asing Terbaik, dan India pula menghantar filem Tamil bertanding kategori sama, tidak mustahil panel juri di Hollywood pun pening bahkan binggung memikirkan Malaysia ini India punyakah ? tiada bahasa ibunda sendiri ?

Malaysia yang masih kempunan meraih Filem Terbaik Asia di Festival Filem Asia Pasifik (FFAP) bolehlah jika mahu menghantar Jagat kerana statusnya sebagai Filem Terbaik Malaysia. Mujur juga Filem Terbaik ASK 2016, Redha arahan Tunku Mona Riza sudah dipilih mewakili negara ke Anugerah Oscar Ke-89 yang akan berlangsung di Teater Dolby, Hollywood, Amerika Syarikat, pada 26 Februari 2017.

Untuk FFM29 pada 2017 dan FFM seterusnya, katakanlah penyertaan dari filem-filem bukan bahasa Malaysia ini kurang atau tidak menepati kriteria penyertaan, apakah kategori Filem Terbaik Malaysia itu dikekalkan atau dimansuhkan, hanya masa yang akan menentukannya.

Penulis Pengarang Rencana Metro Ahad

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 November 2016 @ 10:25 AM