Filem Munafik muncul Filem Nasional Terbaik Festival Filem Malaysia Ke28 (FFM28).
Filem Munafik muncul Filem Nasional Terbaik Festival Filem Malaysia Ke28 (FFM28).
Adam Salleh

Filem Munafik muncul Filem Nasional Terbaik Festival Filem Malaysia Ke28 (FFM28), filem Jagat pula menang Filem Terbaik Malaysia. Dua anugerah hampir sama, sebutan saja berbeza diwujudkan berikutan pemansuhan kategori Filem Terbaik (Bukan Dalam Bahasa Melayu).

Kemenangan Shamsul Yusof merangkul kategori Pengarah Terbaik bukan kali pertama dan bagai dijangka, berbanding Shanjhey Kumar Perumal melalui filem Jagat sesuatu yang menarik kerana sudah lama kita tidak dengar anak muda India meraih anugerah festival tempatan.

Menyorot FFM27 lalu, apabila Liew Seng Tat meraih anugerah Pengarah Terbaik menjadikan beliau pengarah ke 19 menerima anugerah kategori itu. Dilahirkan pada 30 September 1979, siswazah Universiti Multimedia, Cyberjaya ini juga menjadi pengarah bukan Melayu kedua selepas Saw Teong Hin mencipta sejarah merangkul kategori sama pada FFM18 (2005) melalui Puteri Gunung Ledang.

Bezanya Teong Hin turut meraih anugerah Lakon Layar Terbaik di FFM18. Di FFM27, Lakon Layar Terbaik diraih Mamat Khalid (Amir & Loqman Pergi Ke Laut). Untuk FFM28, Teong Hin masuk gelanggang kembali bagi merebut kategori sama melalui filem Jejak Warriors.

Bagaimanapun Jejak Warriors tidak memenangi sebarang anugerah. Pengarah lain turut bertanding Ghaz Abu Bakar (Polis Evo), Syamyl Othman (Rembat) serta Wan Hasliza (Love Supermoon) dan FFM28 tempoh hari memang dramatik apabila kategori Bukan Dalam Bahasa Malaysia dimansuhkan, lalu untuk Pengarah Terbaik turut bersaing Puvanendran (Maravan), Shanjhey Kumar (Jagat), Jess Teong (The Kid From The Big Apple), Yee Kwan Wah (Huat The Fish) dan Chiu Keng Guan (Ola Bola). Jelas sekali sesuatu yang klasik untuk FFM28 kali ini dengan adanya pertembungan pengarah Melayu, Cina dan India.

Muka baru dalam bidang pengarahan Pekin Ibrahim tidak terkecuali mencuri perhatian juri dan pihak media apabila filem sulung arahanya Kami Mat Motor Bukan Mat Rempit (Mat Motor) menerima lapan pencalonan menerusi 27 kategori yang dipertandingkan dalam FFM28.

Berasal dari Kota Bharu, Kelantan, Pekin atau nama sebenarnya Mohd Iznan sendiri menerima empat pencalonan menerusi Pengarah Baru Terbaik, Lakon Layar Terbaik, Cerita Asal Terbaik dan Pelakon Lelaki Terbaik. Turut bertanding untuk Pengarah Baru Terbaik FFM28; Feroz Kader (Suamiku Encik Perfect 10), Jess Teong (The Kid From The Big Apple), Shanjhey Kumar (Jagat) dan Daven Raghavan (CCTV).

Pekin nyata tidak gigit jari apabila merangkul anugerah Pelakon Lelaki Terbaik dalam Mat Motor-Kami Bukan Mat Rempit. Festival filem itu glamor, tiada bezalah Anugerah Akademi (Oskar) di Hollywood, Festival Filem Antarabangsa Shanghai atau IIFA (Anugerah Akademi Filem Antarabangsa India) Bollywood dan Kollywood, malah di Festival Filem Cannes, aktor dan aktres paling deras diberi ‘limelight.’

Bagi penggiat industri pula, pengarah umpama nadi sesuatu festival kerana hasil karya mereka itulah mencernakan kreativiti bagi menentukan aktor dan aktres manakah terbaik bahkan filem yang dipertaruhkan oleh produser bersaing untuk menjadi Filem Terbaik. Sejak FFM bermula pada 1980 tidak sunyi melahirkan ramai pengarah berpotensi bagi meneruskan legasi. Awalnya FFM masih lagi didominasi karyawan filem kelahiran Studio Cathay Keris Film, Malay Film Production (MFP) di Singapura dan Merdeka Studio di Hulu Klang.

Sejarah filem Melayu itu bermula dengan sentuhan pengarah India, B S Rajhans melalui filem Laila Majnun pada 1933, yang dibintangi M Suki (datuk Nanu Badaruddin), Fatimah Jasmin dan Syed Ali Mansor Al-Attas. Selepas Perang Dunia Kedua, keringat Rajhans dipertaruhkan lagi untuk mengarah filem Seruan Merdeka pada 1946 yang dibintangi Salleh Ghani dan Rokiah Hanafi diterbitkan Malay Arts Production.

Melalui Malay Film Production (MFP) di No 8, Jalan Ampas, Singapura pula dari 1947 hingga 1955, Rajhan sempat mengarahkan 20 filem. Penerbitan filem pertama Cathay Keris juga filem Melayu pertama berwarna berjudul Buluh Perindu juga diarahkan oleh Rajhan pada 1953.

Keringat pengarah India lain antaranya L Krishnan (Tan Sri), B N Roa, K M Basker, S Ramanathan, Phani Majumdar dan Dhiresh Ghosh sememangnya sinonim dengan filem Melayu. Kalaupun ada pengarah Cina mengarah filem Melayu yang dicatatkan di Buku Daftar Filem Melayu terbitan Finas pada 1993 cuma nama Chew Cheng Kok melalui filem Seruan Darah (1957) dan Hantu Kubur (1958).

Untuk tempoh tiga dekad selepas filem Melayu mendapat roh baru, pengarah masih lagi didominasi karyawan Melayu. Kalau ada pun pengarah Cina cuma Patrick Yeoh melalui filem Kami terbitan Indera Filem dibintangi Sudirman Haji Arshad (Datuk/Allahyarham) dan Ho Kwee Ling. Tidak ketinggalan Eddie Pak (Alif) yang mengarah filem Syukur 21 terbitan sulung Metrowealth Movie Production (MIG)

Satu perkembangan menarik di era milenium ini muncul pengarah Cina dan India seperti Shanjhey Kumar Perumal dan M Subash Abdullah bagi merancakkan industri perfileman tanah air. Paling ketara generasi muda Cina yang kian membara menjadi pengarah seperti Silver Chung, Ho Yuh Ang, Woo Ming Jin, Jason Chong, Ryon Lee, Bernard Chauly, Michael Ang, Namewee selain Seng Tat, Teong Hin dan Keng Guan sendiri.

Lebih membanggakan sentuhan pengarah muda ini sama ada Melayu dan Cina berjaya mencipta sejarah baru apabila filem arahan masing-masing mencatat kutipan lebih RM15 juta antaranya Syamsul Yusof (filem Munafik, RM19 juta), Mohd Nizam Razak (BoboiBoy, RM17.48 juta), Ghaz Abu Bakar (Polis Evo, RM17.47 juta), Chiu Keng Guan (The Journey, RM17.17 juta & Ola Bola, RM15.85 juta).

Tata cara berfikir dan falsafah setiap pengarah itu berbeza, begitulah dengan filem. Jika dulu filem tempatan disebut filem Melayu kerana tenaga produksi majoriti Melayu tidak sekarang adanya produser, pengarah dan pelakon Melayu, Cina, India dan etnik Sabah dan Sarawak.

Pada mereka inilah disandarkan harapan berteraskan semangat Sehati Sejiwa untuk menterjemahkan filem tempatan mengikut citra budaya Malaysia bagi memahatkan nama negara di persada dunia, tidak pun menjadi terbaik di Asia kerana lebih setengah abad Festival Filem Asia Pasifik (FFAP) diwujudkan filem kita masih lagi kempunan untuk merangkul anugerah Filem Terbaik di festival paling berpestij di Asia itu.

Penulis Pengarang Rencana Metro Ahad

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 September 2016 @ 8:35 AM