Khusairi mahu filem dihasilkan rakyat Malaysia gunakan bahasa Malaysia.
Khusairi mahu filem dihasilkan rakyat Malaysia gunakan bahasa Malaysia.
Najiy Jefri


Kuala Lumpur: Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) memutuskan kategori anugerah Filem Terbaik Nasional sebagai anugerah utama di Festival Filem Malaysia ke-28 (FFM28) yang akan berlangsung pada 3 September ini.

Perkara itu diumumkan Pengerusi Finas, Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib yang merujuk kategori utama itu diberikan kepada filem terbaik yang dihasilkan rakyat Malaysia menggunakan Bahasa Malaysia sebagai bahasa pertuturan filem selaras dengan kedudukannya sebagai bahasa kebangsaan dalam Perlembagaan.

€œFinas selaku penganjur mengambil setiap maklum balas dan pandangan pemimpin, karyawan industri dan masyarakat sebagai medium perkongsian untuk menambahbaik penganjuran FFM di masa depan.

€œJusteru itu, Finas memutuskan mekanisme baru ini yang perlu dihormati dan dilihat dari sudut positif oleh semua pihak,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Khusairi berkata, beliau berharap semua pihak menerima keputusan ini tanpa prejudis dan polemik selari dengan objektif utama penganjuran FFM.

Anugerah Filem Terbaik Nasional menyaksikan lima filem dicalonkan iaitu Polis Evo, Munafik, Nota, Jejak Warriors dan Mat Moto-Kami Mat Moto Bukan Mat Rempit.

Dalam pada itu, Finas turut mewujudkan kategori Filem Terbaik Malaysia di mana 10 filem dicalonkan termasuk lima dari kategori Filem Terbaik Nasional.

Lima lagi filem yang dicalonkan dalam kategori ini ialah Ola Bola, Jagat, Maravan, Huat The Fish dan The Kod From The Big Apple.

Mohd Khusairi berkata, kategori itu merujuk kepada filem-filem yang dihasilkan oleh rakyat Malaysia menggunakan sebarang bahasa yang dituturkan rakyat negara ini sebagai bahasa pertuturan filem.

Selain itu, kategori Pengarah Terbaik dan Lakonlayar Terbaik Bagi Filem Bukan Bahasa Malaysia sudah dimansuhkan dan semua filem akan bertanding dalam kategori terbabit tanpa mengira bahasa.

Anugerah bagi kategori-kategori lain yang sebelum ini dipertandingkan tanpa mengira bahasa adalah dikekalkan.

Sebelum ini, satu perjumpaan diadakan Selalu lalu di antara Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Mohd Salleh Said Keruak dengan Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM), Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM), Persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia (Profima), Persatuan Seniman dan Persatuan Penerbit TV Malaysia (PTVM).

Malam perasmian FFM28 akan berlangsung pada 1 September di Studio Soundstage, Finas, Hulu Klang, di sini, manakala malam kemuncak akan berlangsung pada 3 September ini di Plenary Hall, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) bermula jam 9 malam.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Ogos 2016 @ 7:40 PM