Norazrina (kanan) mengharumkan nama negara apabila menyertai pertunjukan fesyen muslimah ‘Tokyo Modest Fashion Show’ di Tokyo, Jepun, dari 22 hingga 23 November lalu. FOTO ihsan Norazrina
Norazrina (kanan) mengharumkan nama negara apabila menyertai pertunjukan fesyen muslimah ‘Tokyo Modest Fashion Show’ di Tokyo, Jepun, dari 22 hingga 23 November lalu. FOTO ihsan Norazrina
Nurul Huda Kosnon


Kuala Lumpur: Rakyat Malaysia, Norazrina Mohd Salleh, 31, mengharumkan nama negara apabila terpilih menyertai pertunjukan fesyen muslimah ‘Tokyo Modest Fashion Show’ di Tokyo, Jepun, dari 22 hingga 23 November lalu.

Pertunjukan membabitkan empat negara iaitu Malaysia, Indonesia, Singapura dan Jepun itu mengetengahkan fesyen yang memberi peluang kepada wanita Islam bergaya sopan dengan mengikut peredaran zaman.

Norazrina ketika dihubungi di Tokyo, Jepun berkata, dia tidak menyangka berpeluang menyertai pertunjukan yang buat julung kali diadakan di negara itu.

"Saya hanya mahu popularkan fesyen hijab sehingga ke peringkat antarabangsa selain merebut peluang yang ada untuk mengembangkan lagi perniagaan.

"Kalau bercakap mengenai fesyen hijab rakyat di negara itu hanya terfikir mengenai Indonesia sebaliknya Malaysia juga ada fesyen seperti ini," katanya yang juga pemilik Butik Rina Salleh Clothing.

Dia yang juga ibu kepada dua anak juga mahu mendedahkan masyarakat di negara itu mengenai pakaian terkini untuk wanita muslimah.

"Alhamdulillah, sambutan yang diterima sangat luar biasa dan menggalakkan termasuk daripada wanita bukan Islam.

"Mereka beranggapan pakai tudung ni panas tetapi apabila sudah mencuba ia menjadi sebaliknya termasuk selesa dan mudah," katanya.

Katanya, dia kini dalam perancangan untuk menembusi pasaran United Kingdom dan Jepun pada masa akan datang.

"Setakat ini, saya menerima sambutan menggalakkan daripada kedua-dua negara itu. Mei lalu juga saya turut menyertai satu pertunjukan fesyen di London dan reaksi masyarakat juga amat positif terutama golongan wanita muslim yang menetap di negara itu termasuk dari Pakistan,”katanya.

Katanya, dia berterima kasih kepada pihak pengurusan Moslema In Style yang membantu membawanya menyertai pertunjukan fesyen ke luar negara terutama ke Tokyo, Jepun.

Sementara itu, bagi Nur Hanis Mohd Rohayat, 23, dari Singapura yang turut menyertai pertunjukan itu berpendapat, ia platform terbaik untuk mendedahkan fesyen hijab terutama di peringkat antarabangsa.

"Saya melihat fesyen hijab di kalangan wanita muslim di negara itu biasa saja di mana mereka hanya menggunakan 'shawl' dan melilitnya saja di kepala.

"Mereka juga berminat dengan fesyen hijab yang saya ketengahkan dan memberikan reaksi positif termasuk unik, menarik dan mengikut peredaran masa," katanya ketika dihubungi di Singapura.

Katanya, dia kini komited untuk menarik lebih ramai wanita bukan Islam untuk mempelajari cara bertudung mengikut keperluan mereka.

"Ada antara mereka meminati fesyen hijab tetapi tidak tahu cara menggunakannya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 November 2016 @ 8:15 PM