MIZZ Nina membantu seorang peserta program mengenakan hijabnya.
MIZZ Nina membantu seorang peserta program mengenakan hijabnya.
Oleh Faizatul Farlin Farush Khan

Sekumpulan gerakan wanita muda, bergaya dan berani yang menggelarkan diri mereka ‘Stellas’, memulakan inisiatif proaktif dalam membantu memperkasa Muslimah di seluruh dunia melalui penganjuran Hari Hijab Dunia (WHD) Malaysia 2015.

Acara peringkat antarabangsa yang dianjurkan di Taman KLLC pada 1 Februari lalu itu dikelolakan gerakan berkenaan dengan sokongan padu syarikat fesyen Muslimah dalam talian, Hijab2Go.

Misi WHD Malaysia 2015 mempunyai objektif mengajak seramai mungkin gadis dan wanita tanpa mengira bangsa, agama atau latar belakang mencuba sendiri menyarungkan hijab bagi memperluaskan kefahaman dan memupuk kesedaran mereka terhadap pemakaian hijab.

Inisiatif global ini adalah kerjasama strategik antara Stellas, Hijab2Go dan duta kepada WHD Malaysia 2015, Emi Idura Che Hashim, yang juga pengasas Image Consultancy Company dan Top2ToeStyliesta Image Consulting.

Sebelum ini, Emi Idura pernah menganjurkan Hari Hijab Sedunia Malaysia bersama-sama penyanyi dan penulis lagu terkenal di Malaysia, Mizz Nina tahun lalu.

Menurut Pengasas Bersama Hijab2Go, Fiza Azwaniz Azizi sepanjang ditubuhkan, pihaknya berkesempatan bertemu ramai wanita hebat yang mempunyai bakat luar biasa serta bercita-cita tinggi.

“Kami sangat teruja dapat menjadi penghubung kepada ramai wanita berwawasan dan secara tidak langsung membuatkan mereka lebih yakin untuk menganjurkan sesuatu acara, aktiviti dan program menarik yang mampu memberi kebaikan kepada masyarakat Islam seterusnya membantu merubah dunia,” katanya.

Fiza Azwaniz juga menyatakan sokongan penuh kepada misi Stellas yang mahu mengukuhkan kedudukan wanita Islam di seluruh dunia seterusnya membantu mereka mencapai potensi masing-masing.

Katanya, ketika ini Hijab2Go dan Stellas sedang bekerjasama untuk menjayakan projek berskala besar bagi mencapai impian yang mereka kongsi bersama.

“Hijab2go ketika ini sedang berbincang dengan ramai rakan kongsi yang berminat untuk menjayakan program ‘Impak Sosial 2015 bagi memperkasakan 400 Muslimah di Malaysia,” katanya.

WHD ditubuhkan atas tanggungjawab mendidik pemahaman pemakaian hijab yang mengikut syarak, selain memupuk toleransi serta merapatkan ukhuwah khususnya buat saudara baru atau mualaf.

Program itu tidak menolak keinginan wanita untuk berfesyen bahkan memberi panduan penggayaan yang sesuai buat Muslimah.

Namun, masih menepati syarak pemakaian Muslimah, supaya keinginan berfesyen tidak membawa kemudaratan kepada mereka yang berhijab.

Berikutan itu, pelbagai perancangan giat disusun dalam usaha memperkasa wanita Islam di seluruh dunia, bermula dengan acara WHD Malaysia 2015.

Sepanjang acara itu, beberapa aktiviti kemuncak dijalankan antaranya tip penggayaan tudung secara profesional yang ditunjukkan oleh Emi Idura dan jualan hijab terpakai bagi mengumpul dana membantu mangsa banjir di negara ini.

Ketika acara berlangsung, Mizz Nina turut sudi berkongsi pengalaman dan kisahnya ketika memutuskan untuk menyarung hijab.

Berkongsi pandangan dan kepentingan berhijab, katanya, Hari Hijab Dunia memberi kesan peribadi secara langsung kepada dirinya dan dia yakin tidak keseorangan dalam perkara berkaitan pemakaian hijab.

“Kita perlu mempromosikan Islam dan menunjukkan kepada dunia bahawa Islam adalah agama yang indah dan amat mementingkan keamanan. Kita juga perlu tunjuk kita adalah wanita yang kuat, boleh buat apa saja biarpun bertudung,” katanya.

Pada masa sama, aplikasi talian Hijab2go turut dilancarkan untuk memudahkan Muslimah di seluruh dunia mencuba sendiri setiap tudung yang cantik tanpa perlu keluar dari rumah atau membuka hijab yang sedang dipakai.

Seorang ahli Stellas, Aisyah Asila berkata, aplikasi inovatif itu sememangnya selari dengan misi Stella yang mahu semua wanita Islam seluruh dunia mendapat akses secara terus kepada fesyen yang menjaga aurat namun masih bergaya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Februari 2015 @ 12:19 PM