Oleh Mohd Hafizee Mohd Arop

Ipoh: Seorang lelaki dipercayai ahli Geng Mamak berusia 31 tahun ditahan dalam serbuan oleh sepasukan anggota polis di sebuah rumah di Kampung Larut Tin Sambungan, Taiping, Khamis lalu.

Timbalan Ketua Polis Perak Datuk A Paramasivam berkata, lokasi persembunyian lelaki itu dikesan susulan penahanan tiga individu membabitkan dua lelaki yang juga disyaki anggota Geng Mamak serta seorang wanita dipercayai kekasih seorang daripada lelaki terbabit, masing-masing pada 6 dan 14 Disember lalu.

Menurutnya, berdasarkan semakan, lelaki berkenaan mempunyai rekod jenayah lampau serta amat dikehendaki polis selepas terbabit dengan kes samun kereta BMW di Lebuhraya PLUS berdekatan Simpang Pulai.

"Serbuan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah(IPD) Taiping di sebuah rumah di Kampung Larut Tin itu berjaya menahan suspek yang sedang tidur di dalam sebuah bilik.

"Suspek ditahan reman sehingga Khamis ini untuk siasatan lanjut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Disember 2014 @ 12:30 PM