Tempat kejadian dan motosikal ditunggang mangsa.
Tempat kejadian dan motosikal ditunggang mangsa.
Yahya Awang

Taiping : Seorang lelaki maut selepas motosikal ditunggang dirempuh lori dipandu lelaki lain yang mahu membalas dendam di Larut Tin Sambungan, Pokok Assam, dekat sini, semalam.

Dalam kejadian 5 petang itu, mangsa berusia 25 tahun menunggang motosikal bersama seorang rakannya yang turut cedera dalam kejadian itu.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Harith Kam Abdullah, berkata saksi di tempat kejadian memaklumkan pemandu lori merempuh motosikal mangsa sebelum melarikan diri.

"Soal siasat yang dijalankan mendapati sebelum dilanggar, mangsa terbabit dalam satu pergaduhan yang menyebabkan saudara pemandu lori berkenaan cedera akibat ditetak.

"Kita percayai mangsa sengaja dilanggar oleh suspek berusia 46 tahun kemungkinan bermotif membalas dendam," katanya di sini hari ini.

Beliau berkata, siasatan lanjut masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 April 2016 @ 12:56 PM