Ipoh: Polis berjaya menahan seorang lelaki berusia 31 tahun yang dipercayai ahli Geng Mamak dalam serbuan di sebuah rumah di Lorong 2, Kampung Larut Tin Sambungan, Taiping, pada Khamis lalu.

Penahanan itu hasil maklumat diperoleh polis selepas berjaya menahan tiga individu membabitkan dua lelaki yang juga disyaki anggota Geng Mamak serta seorang wanita dipercayai kekasih seorang daripada lelaki terbabit, masing-masing pada 6 Disember di Kampung Tawas dan 14 Disember di Kuala Kangsar.

Polis sebelum ini turut menembak mati seorang ahli kumpulan berkenaan Muhammad Asharaf Jamaluddin, 24, di Taman Bunga Raya, Kuala Kangsar, pada 17 Disember lalu.

Timbalan Ketua Polis Perak Datuk A Paramasivam berkata, semakan mendapati, lelaki terbabit mempunyai rekod jenayah lampau serta amat dikehendaki polis selepas terbabit dengan kes samun kereta jenis BMW di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) berdekatan Simpang Pulai.

“Serbuan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping di sebuah rumah di Kampung Larut Tin itu berjaya menahan suspek yang sedang tidur di dalam sebuah bilik.

“Suspek ditahan reman sehingga Khamis ini untuk siasatan lanjut,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Disember 2014 @ 9:46 AM