Kuala Lumpur: Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) menyasarkan sektor koperasi akan menyumbang antara RM38 bilion hingga RM40 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tahun depan.

Presidennya Datuk Abdul Fattah Abdullah berkata, pihaknya yakin jumlah itu dapat dicapai terutama menerusi langkah yang diambil oleh kerajaan dan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) dalam mempergiatkan industri koperasi negara.

Katanya, tahun ini ANGKASA turut menjangkakan sektor koperasi akan menyumbang sebanyak RM35 bilion berbanding RM32.9 bilion yang direkodkan pada 2013.

“Budaya koperasi semakin diterima oleh masyarakat dan bagi tahun ini saja sebanyak 1,000 koperasi mendaftar di bawah ANGKASA, jumlah itu adalah yang tertinggi pernah direkodkan.

“Setakat ini, sebanyak 11,600 jumlah koperasi berdaftar dengan ANGKASA dan kami menyasarkan ia akan meningkat kepada 16,000 menjelang 2020,” katanya kepada Bisnes Metro di Konvensyen Koperasi Kredit 2014, di sini baru-baru ini.

Konvensyen terbabit berjaya mengumpulkan sebanyak 300 peserta yang terdiri daripada ahli lembaga pengarah dan pengurusan koperasi dengan objektif menyediakan platform kepada koperasi kredit untuk mempelajari kaedah efektif dalam urusan pembiayaan yang diamalkan oleh institusi perbankan.

Menurutnya, sektor koperasi adalah antara penyumbang kepada pembangunan ekonomi negara dan koperasi kredit pula tunjang utama kepada kumpulan wang amanah koperasi yang digunakan untuk pembangunan koperasi secara keseluruhannya.

Abdul Fattah berkata, dalam sektor perbankan koperasi pula terdapat dua bank koperasi iaitu Bank Rakyat dan Bank Persatuan serta 589 jumlah koperasi kredit.

Beliau berkata, berdasarkan statistik SKM sehingga Jun 2014, jumlah anggota koperasi kredit adalah sebanyak 2.36 juta ahli dengan syer atau yuran berjumlah RM8.8 bilion dan jumlah jualan sebanyak RM3.795 bilion.

“ANGKASA komited memperjuang pembangunan koperasi dan mengadakan pelbagai kemudahan perkhidmatan yang termampu bagi membantu perjalanan dan pentadbiran koperasi ahli,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Disember 2014 @ 10:15 AM