ABDUL Fattah (kiri)  bersama Naib Pengerusi Eksekutif Dasar dan Pembangunan SKM, Zazali Haron (tengah)  ketika perasmian Persidangan Fintech Islam.
ABDUL Fattah (kiri) bersama Naib Pengerusi Eksekutif Dasar dan Pembangunan SKM, Zazali Haron (tengah) ketika perasmian Persidangan Fintech Islam.

KUALA LUMPUR: Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia (Angkasa) menggesa gerakan koperasi tempatan untuk mengambil peluang dalam era ekonomi digital bagi memacu teknologi kewangan patuh shariah.

Presidennya, Datuk Abdul Fattah Abdullah berkata, sektor koperasi perlu memperbaiki kualiti perkhidmatan supaya bersesuaian dengan tingkah laku pelanggan atau anggota koperasi yang terkesan dengan perubahan ekonomi digital ini.

Katanya, peserta industri dan rakan kongsi teknologi kewangan (fintech) juga perlu mengambil pendekatan kolaboratif bersama Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) dan Angkasa bagi memastikan gerakan koperasi sentiasa kehadapan.

“Sudah tiba masanya gerakan koperasi sebanyak 14,000 organisasi, termasuk 600 koperasi kredit, menjadi tulang belakang dan pemain utama selaras dengan perkembangan industri fintech dan perbankan di Malaysia.

“Jadi, saya menyarankan gerakan koperasi di negara ini untuk menyahut cabaran yang diketengahkan dalam era pendigitalan ekonomi baharu ini dan memperbaiki kualiti perkhidmatan,” katanya dalam kenyataan bersempena Persidangan FinTech Islam di sini.

Abdul Fattah berkata, tujuan persidangan berkenaan dianjurkan untuk membincangkan potensi fintech bagi koperasi dalam pasaran Islamik.

Menurutnya, persidangan dua hari itu turut menyentuh mengenai ekosistem fintech Islam serta kesannya terhadap sektor perkhidmatan kewangan koperasi.

“Persidangan ini akan menjadi medium perkongsian ilmu antara koperasi dan pemain industri.

“Setakat ini, dianggarkan ada 70 hingga 80 syarikat pemula fintech berpangkalan di Malaysia,” katanya.

Abdul Fattah berharap persidangan berkenaan mampu menjadi platform untuk memberi kesedaran mengenai fintech dalam kalangan koperasi kredit.

“Kita mahu mereka tahu keupayaan fintech dalam meningkatkan kualiti operasi serta menyediakan pengurusan produk pembiayaan patuh syariah kepada ahli koperasi,” katanya.

Persidangan terbabit adalah anjuran bersama oleh Angkasa dan Sedania As Salam Capital Sdn Bhd, anak syarikat Sedania Innovator Berhad.

Selain itu, sebagai peneraju industri platform perdagangan komoditi Tawarruq untuk kewangan peribadi Islam, Sedania As Salam Capital menyediakan platform perdagangan komoditi digital automatik untuk ahli koperasi.

Sejak penubuhannya, platform As-Sidq oleh Sedania As Salam Capital memproses lebih daripada RM37 bilion pembiayaan melalui transaksi tawarruq yang memperdagangkan komoditi kredit airtime.

Setakat ini, hasil kerjasama Sedania As Salam Capital bersama Angkasa, dua pihak berkenaan menjalankan transaksi bernilai RM386 juta untuk tujuan pembayaran pembiayaan patuh syariah melalui platform Tawarruq Angkasa.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Oktober 2019 @ 9:05 AM