EWON Benedick. FOTO Arkib NSTP
EWON Benedick. FOTO Arkib NSTP
Azanis Shahila Aman

Kuala Lumpur: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Kuskop) menyasarkan peningkatan 20 peratus peluang pekerjaan koperasi menjelang 2030, disokong pelbagai program pembangunan di peringkat tempatan, serantau dan global.

Menterinya Datuk Ewon Benedick berkata di peringkat serantau, gerakan koperasi telah menyediakan lebih 11 juta peluang pekerjaan, dan menjelang 2030, kementerian menyasarkan untuk meningkatkan jumlah ini sekurang-kurangnya 20 peratus.

"Matlamat ini boleh dicapai melalui perkongsian kami dengan Pertubuhan Koperasi Asean (ACO) dan Perikatan Koperasi Antarabangsa Asia & Pasifik (ICA-AP)," katanya pada malam gala Persidangan Kredit & Perbankan 2024 di sini, semalam.

Menurutnya, gerakan koperasi tempatan adalah cergas dan teguh, dengan 15,809 koperasi berdaftar dan lebih 7.2 juta anggota individu, membentuk 20 peratus penduduk negara.

Beliau berkata ia telah menyumbang dengan ketara kepada ekonomi negara, dengan perolehan sebanyak RM64.6 bilion pada 2023.

"Dasar Koperasi Negara menyasarkan perolehan ini mencecah RM73 bilion, dengan bank koperasi seperti Bank Rakyat dan Coop-Bank Pertama memainkan peranan penting," katanya.

Sementara itu, Presiden Gerakan Koperasi Negara (Angkasa) Datuk Seri Abdul Fattah Abdullah berkata di Malaysia, sumbangan koperasi sebahagian besarnya dipacu oleh sektor perbankan dan kredit.

Pada 2023, Abdul Fattah berkata 562 koperasi dalam sektor ini menyumbang RM56.3 bilion iaitu lebih separuh daripada jumlah pengambilalihan koperasi Malaysia.

"Ini menunjukkan koperasi perbankan dan kredit memainkan peranan penting dalam pergerakan koperasi negara, baik dari segi nilai kewangan mahupun pembabitan keahlian," katanya.

Abdul Fattah berkata Angkasa berharap kerajaan akan terus memainkan peranan terbaiknya dalam meningkatkan perbankan koperasi di seluruh rantau Asia Pasifik dengan memudahkan hubungan dan mewujudkan rangkaian antara negara.

Usaha ini akan mewujudkan persekitaran kolaboratif di mana bank koperasi boleh berkembang maju di rantau ini, katanya.

"Inisiatif ini akan membolehkan bank koperasi berkongsi pengetahuan, sumber, dan amalan terbaik, memupuk inovasi dan pertumbuhan.

"Dengan menyatukan usaha, kami boleh membina sistem kewangan yang berdaya tahan dan inklusif yang memberi manfaat kepada semua ahli komuniti yang pelbagai," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Jun 2024 @ 2:09 PM