GRILLED barbeque chicken penuh menyelerakan.
GRILLED barbeque chicken penuh menyelerakan.
NATASHA (dua dari kiri) dan Yusni (tiga dari kiri) bersama sajian pilihan pelanggan di Streetz Cafe.
NATASHA (dua dari kiri) dan Yusni (tiga dari kiri) bersama sajian pilihan pelanggan di Streetz Cafe.
Ainal Marhaton Abd Ghani


Bagi ahli keluarga yang mempunyai selera berbeza dan sentiasa sukar memilih tempat makan ‘one-stop center’ yang menawarkan pelbagai sajian hidangan Barat, masakan panas tempatan dan cita rasa Thai, Streetz Cafe mungkin pilihan tepat.

Ini kerana kafe di Jalan Beserah, Kuantan, ini menyediakan pelbagai pilihan makanan terutama untuk golongan muda yang sentiasa mencari kelainan.

Pengurus kafe, Nata­sha Zahirudin, 29, berkata, walaupun bahan mentah dan rempah-ratus digunakan masih mempunyai persamaan, dari segi rasa ia berbeza.

“Kepakaran tukang masak menggunakan resipi, timbangan dan ukuran yang tepat selain disediakan dengan penuh ‘kasih sayang’ menjadi keutamaan kafe ini,” katanya.

Antara menu masakan Barat yang menjadi pilihan ialah lamb chop, lamb shank, beef sirloin steak, spageti oglio seafood dan grill chicken with cheese dihiasi daun salad, brokoli dan kentang goreng.

Masakan tempatan pilihan pula pelbagai jenis mi, kuetiau, bihun, masakan berasaskan ikan, ayam, daging lembu, udang dan sotong.

Masakan Thai yang menjadi pilihan pula ialah siakap stim halia, ayam namprik, udang goreng mentega dan sayur campur.

Istimewa untuk kanak-kanak berusia dua hingga 11 tahun, Streetz Cafe menawarkan set fish and chips bersama minuman pada harga RM11.50 manakala scrambles egg dan kentang goreng, sosej dan kentang goreng, nuget dan kentang goreng dan carbonara chicken dengan minuman pilihan Ribena, Milo, sirap dan oren berharga RM10.50 setiap set.

Pelbagai jenis minuman sejuk dan panas, milkshake, smoothies dan ice blended pelbagai rasa ditawarkan termasuk nutella milkshake yang ada campuran aiskrim nutella, whipped cream dan biskut sebagai hiasan.

Menurutnya, sajian Thai, tomyam gong seafood terdiri daripada campuran makanan laut seperti lala, sotong dan udang yang mempunyai rasa ‘terlebih’ pedas yang jika dimakan boleh mengalirkan air mata. Bagi yang tidak tahan pedas, mereka boleh meminta kurangkan pedas.

“Kami menggunakan air rebusan udang yang direbus dalam tempoh 30 minit untuk mendapatkan kepekatan ditetapkan dan susu cair untuk lebih rasa lemak.

“Seterusnya, bahan ‘pe­nyedap’ iaitu lengkuas, serai, bawang putih, bawang merah dan pes tomyam dimasukkan dan dibiarkan mendidih sehingga sebati untuk mendapatkan rasa masam, manis, pedas dan lemak,” katanya yang menggunakan khidmat tukang masak berpengalaman Mohd Yusni Samah,34,

Untuk sajian Barat, Streetz Cafe mendapatkan bahan mentah seperti daging lembu dan kambing import dari New Zealand dan Australia serta kepingan ayam daripada pembekal tempatan.

“Daging diperap dengan pelbagai jenis ramuan termasuk rosemarry, paprika, barbeku smoke, bawang dan bahan perasa dibenarkan.

“Ia kemudiaan disejuk beku antara dua dan tiga hari supaya sebati dan secara tidak langsung mempercepatkan proses memasak antara lima hingga tujuh minit sahaja,” katanya.

Menurut Natasha, hampir keseluruhan hidangan berkonsep dan bercita rasa hotel, tetapi masih boleh dinikmati semua peringkat masyarakat pada harga mampu bayar.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 November 2016 @ 1:10 PM