SUNDUBU jigea yang enak dijamah bersama nasi.
SUNDUBU jigea yang enak dijamah bersama nasi.
Aniza Zainudin


Secomel namanya, Milk Moustache Cafe, begitu juga hiasan dalaman kafe santai yang berkonsepkan sajian Korea Selatan ini.

Diusahakan dua beradik, Norwidawati, 36, dan Noorain Alias, 30, kafe dua tingkat ini seharusnya menjadi senarai wajib kunjung bagi penggemar menu negara K-pop.

Berpeluang menikmati lima menu popular termasuk nasi goreng Kimchi, Jajangmyun, Sundubu Jigea, Dokbukki dan Kimbap, cita rasanya tidak ubah seperti di Korea Selatan cuma ia diubah suai menepati selera tempatan.

Menurut Norwidawati, kafe ini menjadi bukti minat dia dan adiknya terhadap dunia masakan dan muzik K-pop.

“Beberapa kali mengunjungi Korea Selatan atas urusan kerja sebelum ini, membuka peluang kepada saya untuk mempelajari sajian masyarakat di sana.

“Saya juga mempunyai keluarga angkat yang sanggup berkongsi resipi dan gaya masakan mereka, selain mengikuti kelas masakan secara formal di sana.

“Oleh kerana kebanyakan bahan asal digunakan tidak halal, saya perlu menggantikannya dengan ramuan halal. Rasanya tidak banyak perbezaan dengan rasa asli hidangan berkenaan,” katanya ketika ditemui.

Bagi peminat hidangan sup, Sundubu jigea antara menu disarankan penulis kerana sajiannya lengkap bersama makanan laut, cendawan inoki, ayam dan telur.

Kuah merah yang pedas dihidang panas menggunakan pes cili, gochujang, buatan sendiri sememangnya memiliki rasa unik dan memenuhi selera rakyat Malaysia. Lebih enak apabila ia dijamu bersama nasi.

Nasi goreng Kimchi antara pilihan makanan berat yang popular, malah ia juga disajikan bersama omelet berintikan mentega untuk menaikkan rasa berlemak.

Penggemar makanan jalanan, Dokbukki, perlu mencuba menu disediakan Milk Moustache Cafe kerana ia pedas dan sedikit manis. Hidangan kecil dilengkapi sosej, isi ketam dan tofu ini sesuai dijadikan ‘jajan’ ketika bersembang bersama teman, selain Kimbap.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 April 2016 @ 5:00 AM