SET besar Big Plater yang menggabungkan 13 jenis masakan.
SET besar Big Plater yang menggabungkan 13 jenis masakan.
Mohd Azam Shah Yaacob


Dihidang dengan 13 jenis makanan dalam satu dulang, menu masakan Barat ditawarkan di kafe ini memang luar biasa kerana ia mampu memenuhi selera besar ‘kaki makan’.

Bagi set paling besar, pelanggan dihidangkan dengan kombinasi daging lembu, kambing dan ayam panggang bersama sotong, kupang, udang, ikan salmon serta ikan dory selain dua jenis pasta, nuget ikan, kentang putar dan kentang goreng.

Jumlah itu cukup bagi menampung selera lima hingga enam individu atau bagi yang suka makan selain cukup lengkap bagi pelanggan yang ingin menikmati pelbagai masakan dalam satu menu.

Itu keunikan kafe ToranCoffee di Seksyen 13, Shah Alam yang menawarkan pelbagai hidangan masakan Barat menggunakan daging serta makanan laut dan cukup membuatkan sesiapa saja tersandar kekenyangan.

Hidangan besar ditawarkan dalam tiga set berbeza iaitu ‘Mix Grill’, ‘Seafood Party’ dan ‘Big Plater’ yang setiap satunya menawarkan masakan berbeza serta datang bersama dua jenis pasta, kentang lecek dan kentang goreng.

Pengurus ToranCoffee, Shazwan Adnan, 27, berkata tiga set besar itu ditawarkan bagi memenuhi selera pelanggan yang berbeza.

“ToranCoffee dibuka sejak 2010 dan pada 2014, kami mewujudkan pembaharuan dengan menawarkan menu bersaiz besar apabila mendapati pelanggan lazimnya mencari hidangan bagi memenuhi kehendak sekeluarga atau secara berkumpulan.

“Maka, terciptalah tiga set hidangan besar ini seperti Mix Grill bagi pelanggan yang sukakan masakan daripada daging kambing, lembu atau ayam yang dipanggang manakala Seafood Party pula bagi pelanggan yang mencari kombinasi makanan laut terdiri daripada sotong, udang, kupang, ikan salmon dan ikan dory.

“Big Plater pula adalah set paling besar yang menggabungkan masakan daripada daging dan makanan laut,” katanya.

Shazwan yang mempunyai pendidikan dalam bidang kulinari berkata, setiap menu pula disediakan mengikut resipi asli masakan Barat tanpa sedikitpun pengubahsuaian kerana tidak mahu merosakkan rasanya.

“Biarpun mengikut resipi asal, pelanggan tidak perlu risau kerana ramuannya menggunakan bahan yang halal biarpun ada antaranya diimport dari Australia,” katanya.

Selain tiga set besar, ToranCoffee turut menawarkan set individu terdiri daripada tujuh set ringan seperti kepak ayam, tiram berkeju atau segar dan sup cendawan, tiga set nasi goreng, lima set masakan yang dipanggang, tujuh set burger dan 13 set pasta.

“Di sini selain set besar, kita juga terkenal dengan set burger yang dibuat sendiri. Resipi burger ini pula hasil ciptaan sendiri dimana keunikannya terletak pada daging serta lapisan tiga jenis keju yang berbeza. Setiap burger ini diletakkan dengan lapisan keju cheddar dan hirisan keju mozarella sebelum dicurah dengan kuah keju yang dibuat sendiri,” katanya.

Tidak lengkap tanpa hidangan pemanis, ToranCoffee turut menawarkan pelbagai jenis kek dan tiga jenis aiskrim selain menu pembasah tekak New York Milkshake, Brownies Milkshake, Hazelnut Torte Milkshake, White Chocolate Butterscotch, Mocha Ulua, Chocolate Spiced dan pelbagai jenis kopi yang diimport dari Australia.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Mac 2017 @ 5:00 AM