KAFE Projekt Makan guna bahan asli, tetapi diolah mengikut cita rasa tempatan.
KAFE Projekt Makan guna bahan asli, tetapi diolah mengikut cita rasa tempatan.
Ainal Marhaton Abd Ghani


Anda tidak perlu terbang ke Itali untuk merasai makanannya yang terkenal di seluruh dunia, sebaliknya berkunjung sahaja ke Kafe Projekt Makan yang menawarkan lebih 20 hidangan cita rasa Itali asli.

Terletak bersebelahan Politeknik Metro dan Hotel Rocana, Kafe Projekt Makan, Kuantan, menjanjikan kelainan rasa dan persembahan hidangan yang secara tidak langsung memberi peluang kepada pelanggan menikmati hida­ngan barat, makanan laut, pasta dan minuman pilihan.

Pemilik restoran, Wan Mohamad Azree Wan Naemuddin, 30, berkata, makanan disediakan tukang masak berpengalaman menyajikan menu barat bercita rasa Itali.

Pelanggan pasti ‘tersangkut’ dengan hidangan kerana kafe berkenaan menjanjikan kelainan dari segi rasa berikutan sos pencecah dan bahan perapan daging lembu, kambing dan ayam menggunakan ‘butter milk’ selain rempah dan herba Itali.

“Kafe Projekt Makan mempunyai konsep tersendiri untuk me­menangi hati pelanggan. Rempah dan herba Itali jarang digunakan untuk masakan barat di sini menyebabkan saya mengambil pendekatan menggunakan bahan itu .

“Kami olah kembali resipi sedia ada untuk mendapatkan rasa lebih ‘umph’ sebagai pembaharuan untuk disesuaikan dengan selera tempatan,” katanya ketika ditemui di kafe berkenaan di Lorong Tun Ismail 2, Sri Dagangan 2, Kuantan, baru-baru ini.

Kafe yang dibuka mulai jam 5 petang hingga 12 tengah malam itu sesuai untuk mereka yang datang bersama keluarga kerana menyediakan pelbagai sajian pilihan timur dan barat dalam kuantiti besar tetapi pada harga lebih rendah.

Menurut Wan Mohamad Azree, antara menu pilihan pelanggan ialah chicken milanese iaitu sajian kepingan daging ayam bersalut serbuk roti yang dihiasi keju di bahagian permukaan dan dinikmati bersama sos keju putih yang sedikit masin berkrim.

Katanya, pasta seperti bolognese meatball, aglio olio shrimp, alfredo srimp, laksa goreng kambing, laksa goreng ayam, alfredo tuna dan alfredo with grill lamb yang dinikmati bersama sos keju berharga antara RM7.90 hingga RM15.90, manakala makanan barat seperti chicken chop, avantgarde streak, ribs grill steak, lamb grill, mi grill chicken and lamb dan mix grill steak and chicken dinikmati bersama sos lada hitam pula antara RM14 hingga dan RM35 satu set.

Untuk penggemar hidangan berasaskan makanan laut, Projekt Makan menyediakan oyster grill, Asian lobster, Borneo lobster, slipper lobster berharga antara RM25 hngga RM80 satu hidangan manakala untuk shellout atau seafood platter dengan mempunyai gabungan ketam, siput buluh, kupang dan lala serta nasi putih berharga RM35 untuk hidangan dua orang dan RM59 untuk empat orang.

“Dua jenis sos iaitu sos lousiana dan sos butter milk digunakan sebagai ‘adunan’ shellout iaitu campuran herba Itali, garam, gula, bawang putih dan cili potong yang rasanya berbeza dengan shellout di tempat lain,” katanya yang berpengalaman enam tahun dalam industri perhotelan.

Bagi yang menggemari minuman herba ‘ala kampung’ boleh mencuba Ayaq Sungai Petani yang mempunyai rasa bera­ngin dan berempah kerana mengandungi campuran halia, bunga cengkih, bunga lawang, lemon, pudina dan serai.

Minuman pilihan lain ialah ialah samudera biru, pink peach, strawberi mojitos, apple frizz, red devil, minuman ‘milkshake’ perasa coklat, nutella, peanut butter, red velvet dan strawberi dengan pelbagai topping.

“Saya hiasi dengan kepingan kek coklat, ais krim, marshmallow dan pretzel di bahagian permukaannya serta taburan kacang tumbuk.

“Idea menyediakan menu ini berdasarkan pencarian di laman web untuk mencari kelainan dan ternyata tidak sia-sia kerana pelanggan begitu menggemarinya,” kata pemegang Diploma Lanjutan Pengurusan Perniagaan dan Per­da­gangan dari Kolej Profesional MARA (KPM) Seri Iskandar, Perak.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Oktober 2016 @ 5:32 AM