Washington: Bintang Amerika Syarikat Lexi Thompson (gambar) mencatat 65 pukulan buat kali kedua berturut-turut sekali gus mendahului Kejohanan LPGA Kingsmill dengan kelebihan tiga pukulan.

Thompson mengumpul 12 di bawah 130 selepas bermain 36 lubang di lapangan Williamsburg, Virginia sambil rakan senegara Gerina Piller mengekori di belakang dan diikuti pemain nombor satu dunia Lydia Ko yang berkongsi tempat ketiga dengan Candie Kung.

Lexi memiliki kelebihan satu pukulan berbanding Gerina sebelum memulakan hari kedua dan dia mengumpul birdie di lubang 3, 6, 7 dan 9.

Dia menambah birdie di lubang 14 dan 17 untuk mengumpul kelebihan tiga pukulan sebelum kejohanan memasuki hari ketiga.

“Lapangan ini sesuai dengan saya,” katanya. “Saya dapat membuat pukulan drive dengan baik. Pukulan 3 wood saya juga cukup menjadi. Saya sukakan reka bentuk lapangan ini.

“Tahun ini, lapangan ini kelihatan amat menarik dan tidak keterlaluan jika saya katakan sebagai yang terbaik pernah saya lihat di sini.”

Gerina sedikit bergelut di awal permainan tetapi tetap berjaya membenam birdie di lubang 3 sebelum mencatat tiga birdie berturut-turut bermula di lubang 9. Dia mencatat satu lagi birdie di lubang 15 tetapi bogey di lubang 16 dan 18 merosakkan sedikit catatannya.

Lydia pula sedang berusaha mempertahankan kedudukannya selaku pemain nombor satu dunia dan dia mencatat 67 pukulan dengan birdie di lubang 10, 3, 4 dan 7.

“Permainan saya agak baik. Saya perlu mendapat keyakinan untuk mengharungi hujung minggu ini,” kata Lydia. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Mei 2017 @ 6:46 AM