Kontinjen Bank Simpanan Nasional membuat persembahan ringkas ketika melakukan perbarisan lintas hormat pada majlis perasmian Pesta Sukan Kementerian Kewangan (PSKK) Ke-42 di Stadium Langkawi, hari ini. FOTO Hamzah Osman
Kontinjen Bank Simpanan Nasional membuat persembahan ringkas ketika melakukan perbarisan lintas hormat pada majlis perasmian Pesta Sukan Kementerian Kewangan (PSKK) Ke-42 di Stadium Langkawi, hari ini. FOTO Hamzah Osman
Hamzah Osman


Langkawi: Pesta Sukan Kementerian Kewangan (PSKK) Ke-42 yang disertai lebih 2,000 atlit mewakili 13 kontinjen membuka tirai secara rasmi dalam suasana penuh warna-warni dan meriah di Stadium Langkawi, di sini, malam ini.

Majlis perasmian gilang-gemilang yang bermula jam 8.30 malam itu disempurnakan Menteri Kewangan II Datuk Johari Abdul Ghani.

Selain perbarisan lintas hormat kontinjen dan pembacaan ikrar kejohanan, penonton turut dihiburkan dengan persembahan pancaragam oleh Sekolah Menengah Kebangsaan Sultanah Asma Alor Setar serta artis jemputan dari Aepul Drama Band.

Hadir sama pada majlis itu ialah Ahli Dewan Undangan Negeri Kuah Nor Saidi Nanyan dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) Tan Sri Khalid Ramli.

Antara kontinjen yang mengambil bahagian termasuk Lembaga Hasil Dalam Negeri, Bank Simpanan Nasional, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Lembaga Pembangunan Langkawi, Kementerian Kewangan dan Bank Negara Malaysia.

Kontinjen lain ialah Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam, Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta, Suruhanjaya Sekuriti, Bursa Malaysia, Kumpulan Wang Persaraan dan Perbadanan Insurans Deposit Malaysia.

Sepanjang seminggu pesta berlangsung, sebanyak 11 acara dipertandingkan termasuk bola sepak, bola jaring, futsal, badminton, boling, golf, olahraga, catur, ping pong, dart dan karom bertempat di Kompleks Sukan LADA, di sini.

Berucap ketika merasmikan kejohanan itu, Johari berkata, ia diyakini mampu melahirkan kakitangan yang sihat dan cergas selain merapatkan silaturrahim anggota pelbagai peringkat perkhidmatan di bawah naungan Kementerian Kewangan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 November 2016 @ 10:58 PM