ABDULLAH (berdiri belakang, enam kanan) bersama kontinjen LHDNM yang muncul juara keseluruhan SUKANUN Malaysia.
ABDULLAH (berdiri belakang, enam kanan) bersama kontinjen LHDNM yang muncul juara keseluruhan SUKANUN Malaysia.
Nazri Abu Bakar


Melaka: Kontinjen Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) muncul juara keseluruhan Kejohanan Sukan Badan Berkanun Malaysia (SUKANUN) 2017 yang berlangsung di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Durian Tunggal, baru-baru ini.

Kontinjen terbabit unggul selepas meraih tiga emas, empat perak dan satu gangsa sepanjang enam hari kejohanan berkenaan.

Emas LHDNM diraih dalam acara bola tampar wanita, boling padang wanita dan pingpong berpasukan manakala perak hadir menerusi acara catur berpasukan, tenpin bowling wanita, futsal lelaki dan karom berpasukan sambil gangsa dimenangi badminton berpasukan.

Naib juara pula menjadi milik Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) yang meraih tiga emas dan dua gangsa sementara Universiti Teknologi MARA (UiTM) di tangga ketiga dengan masing-masing satu emas dan perak serta lima gangsa.

Kejohanan yang berlangsung di Bandaraya Melaka, Kuala Sungai Baru dan Seremban, Negeri Sembilan itu membabitkan 19 acara termasuk bola sepak senior dan veteran, futsal, badminton, boling padang, dart, catur, bola jaring, bola tampar dan bowling.

Majlis penutup disempurnakan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar (HEP) UiTM, Profesor Datuk Dr Abdullah Mohammad Said.

Abdullah berkata, kejohanan anjuran UiTM dengan kerjasama Persatuan Badan Berkanun Malaysia (PBBM), UTeM , LHDNM, Bank Simpanan Nasional (BSN) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) itu membabitkan 61 kontinjen keseluruhan.

Antara yang bersaing termasuklah Bank Rakyat, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Lembaga Getah Malaysia (LGM), Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Lembaga Pelabuhan Klang (LPK), Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (KEJORA), Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP).

Turut serta, Majlis Amanah Rakyat (MARA), Universiti Sains Malaysia (USM), Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Bank Rakyat, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Universiti Malaysia Sabah (UMS), Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) dan Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM),

Semua atlet dan pegawai berkampung di perkampungan Sukan di UTeM Ayer Keroh dan Durian Tunggal selain di Kampus UiTM Melaka, Lendu dan Kampus UiTM Bandaraya (KBM) Jalan Hang Tuah.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 September 2017 @ 7:28 AM