AFP

Sao Paulo, Brazil: Lewis Hamilton (gambar) mencerahkan peluangnya berjuang merebut gelaran hingga ke saat akhir semalam apabila memintas rakan sepasukan Mercedes dan pendahulu kejuaraan Nico Rosberg dengan merampas kedudukan petak pertama Grand Prix Brazil.

Hamilton, juara dunia yang mengalami selesema, perlu menghalang pelumba Jerman itu daripada menang awal pagi tadi bagi membawa perlumbaan merebut gelaran itu berlanjutan ke grand prix terakhir musim ini di Abu Dhabi dalam tempoh dua minggu.

Ia satu detik sempurna buat pemandu Britain itu untuk menjadi pelumba ketiga meraih 60 petak pertama Formula Satu, di belakang wira Hamilton Ayrton Senna (65 petak pertama) dan Michael Schumacher (68).

Juara dunia tiga kali itu mencatat masa sepusingan terbaik dalam tempoh satu minit 10.736 saat untuk mengatasi Rosberg dengan 0.102 saat apabila kedua-duanya bersaing sengit pada saat akhir pada sesi kelayakan yang berlangsung dalam keadaan tegang.

“Secara jujurnya, saya rasa selesa sepanjang sesi kelayakan seperti setiap hujung minggu,” kata Hamilton yang tenang, biarpun mengalami selesema.

“Nico semakin lama semakin pantas tapi saya berjaya mengatasinya. Inilah perkara terbaik yang saya harapkan sebaik tiba di Brazil.

“Saya sering bergelut di litar ini jadi saya gembira berada di depan.”

Hamilton, yang tidak pernah menang di Brazil, berkata dia tidak bimbang dengan ramalan hujan di Interlagos.

“Saya tidak kisah langsung, saya sedia menghadapi apa saja,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 November 2016 @ 8:39 AM