Reuters

Suzuka, Jepun: Nico Rosberg meletakkan Mercedes di petak pertama Grand Prix Jepun semalam selepas pelumba Red Bull, Daniil Kvyat mengalami pelanggaran sekaligus menamatkan saingan kelayakannya lebih awal.

Pelumba Jerman itu meraih petak pertama sejak perlumbaan di Sepanyol sebaik bendera merah dikibarkan dengan saingan berbaki 36 saat, menafikan peluang rakan sepasukan dan pendahulu keseluruhan Lewis Hamilton meraih petak pertama ke-12 dalam 14 perlumbaan.

Hamilton yang mendahului 41 mata berbanding Rosberg dengan baki enam perlumbaan kehilangan 0.076 saat tetapi memastikan pasukan Mercedes mendominasi barisan hadapan sekali gus melegakan pasukan yang tenggelam di Singapura hujung minggu lalu.

“Kebangkitan yang hebat daripada pasukan selepas minggu yang sukar di Singapura,” kata Rosberg.

“Kami berjaya memperbaiki keadaan, saya berjaya melakukan yang terbaik setiap pusingan. Saya berpuas hati dengan apa yang saya capai.”

“Kereta saya sungguh sempurna sepanjang hari ini.”

Dominasi barisan hadapan itu mengulangi aksi di Suzuka tahun lalu, perlumbaan dalam litar basah yang dicemari kemalangan tragis Jules Bianchi pada peringkat akhir perlumbaan dan Hamilton menjuarai perlumbaan itu sebelum meraih kejuaraan kedua.

Pelumba Finland Valtteri Bottas di petak ketiga untuk Willams di litar kering selepas hujan kelmarin manakala pelumba Ferrari Sebastian Vettel yang menjuarai perlumbaan di Singapura dan juga pemenang empat perlumbaan di Jepun berada di petak keempat.

“Saya ketinggalan pada pusingan pertama pada selekoh 11 dan juga di selekoh terakhir,” kata Hamilton.

“Nico memandu dengan baik hujung minggu ini tetapi saya rasa hebat di pusingan terakhir tetapi apa yang penting keadaan Kvyat baik.”

Pelumba Russia itu tidak mengalami kecederaan dalam kemalangan itu, kehilangan kawalan bahagian belakang keretanya selepas terbabas ke kawasan berumput ketika menghampiri selekoh tajam.

Kvyat memberi jaminan kepada pasukan yang dia dalam keadaan baik dan segera keluar dari kereta tanpa dibantu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 September 2015 @ 5:03 AM