ROSBERG impi raih podium di Interlagos.
ROSBERG impi raih podium di Interlagos.
Reuters

Sao Paulo: Nico Rosberg menyapu kedudukan petak utama buat kali kelima berturut-turut sambil diiringi rakan sepasukan Mercedes yang juga juara dunia tiga kali, Lewis Hamilton menjelang aksi sebenar Grand Prix Brazil hari ini.

Pemandu Jerman itu sekali lagi menafikan hasrat Hamilton yang dijulang juara dunia di Texas bulan lalu untuk meraih kedudukan petak utama buat kali ke-50 sepanjang kariernya.

“Saya hanya memikirkan soal persaingan individu. Saya sudah berada di sini dan mahu menang,” kata Rosberg yang menjuarai saingan di Interlagos tahun lalu selepas bermula dari petak utama.

“Memang baik untuk bermula dari petak utama. Saya juga mahu merangka aksi untuk tahun depan,” tambahnya.

Pelumba Ferrari Sebastian Vettel bakal bermula di petak ketiga dan disertai rakan sepasukannya, Kimi Raikkonen selepas pemandu Williams Valtteri Bottas dikenakan penalti tiga petak.

Hamilton mencuba dan gagal sebanyak lapan kali di Brazil yang juga tanah kelahiran idolanya, Ayrton Senna. Dia bakal berdepan saingan sengit untuk perlumbaan sebenar walaupun peluangnya untuk muncul juara tetap ada.

Empat dari enam pemenang di Brazil sebelum ini bermula dari petak kedua.

“Tugas utama saya tahun ini sudah terlaksana,” kata pelumba Britain berusia 30 tahun itu ketika ditanya apakah dia terlalu ingin berjaya di Brazil.

“Hari ini berlangsung dengan baik. Saya dapat mengimbangi jentera dengan sempurna,” tambah Hamilton yang mencatat masa terpantas pada sesi latihan akhir walaupun berdepan masalah kotak gear.

“Ia litar yang tidak pernah berjaya saya takluk. Tahun lalu, saya rasa sudah meningkat. Harap-harap kali ini akan ada perubahan.”

Walaupun menguasai sesi kelayakan, Rosberg hanya sekali berjaya muncul pemenang dengan yang terbaru di Mexico.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 November 2015 @ 7:29 AM