AFP

Singapura: Nico Rosberg (gambar) menakluk petak utama di Grand Prix Singapura buat kali pertamanya menerusi catatan menakjubkan malam tadi sekali gus memberi tekanan buat rakan sepasukannya di Mercedes Lewis Hamilton.

Rosberg melengkapkan catatan sepusingan di litar Marina Bay dengan 1 minit 42.584 saat, lebih setengah saat di depan pemandu Red Bull Daniel Ricciardo yang mencatat 1:43.115s sambil Hamilton hanya mampu melakar 1:43.288s di petak ketiga.

Seorang lagi pelumba Red Bull Max Verstappen menduduki petak keempat tetapi juara tahun lalu Sebastian Vettel berdepan masalah dengan jentera Ferrari dan bakal memulakan perlumbaan di petak belakang selepas gagal menamatkan sesi kelayakan pertama.

Rosberg tidak pernah berjaya mendaki podium di Singapura dan dia kini berpeluang memintas Hamilton di tangga teratas senarai pelumba.

“Saya gembira dengan catatan itu apatah lagi ia berlaku pada perlumbaan ke-200 saya,” kata Rosberg yang menamatkan saingan di tangga keempat di Singapura tahun lalu.

“Ini adalah antara catatan terbaik saya.”

Hamilton pula bakal mengharungi kesukaran pada perlumbaan sebenar hari ini apabila bakal memulakannya daripada petak ketiga.

“Ia bukanlah sesi yang mengecewakan cuma ia bukan hujung minggu yang terbaik buat saya,” kata Hamilton.

“Nico berlumba dengan baik dan dia benar-benar mempamer keupayaan jenteranya.”

Sejarah kini memihak kepada pelumba Jerman itu apabila dia bakal memulakan perlumbaan di petak utama buat kali ke-29 sepanjang kariernya.

Daripada lapan perlumbaan di Singapura setakat ini, enam pemenangnya bermula dari petak utama. “Saya sukakan statistik itu,” kata Rosberg.

Kimi Raikkonen mencatat masa kelima terpantas bersama jentera Ferrari dan akan bermula di barisan ketiga bersama pemandu Toro Rosso Carlos Sainz Jr.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 September 2016 @ 5:05 AM