HAMILTON terpantas selepas mencatat satu minit 11.895 saat pada sesi latihan, semalam.
HAMILTON terpantas selepas mencatat satu minit 11.895 saat pada sesi latihan, semalam.
Reuters

Sao Paulo: Juara dunia tiga kali Lewis Hamilton memberi amaran kepada rakan sepasukan di Mercedes Nico Rosberg bahawa dia tidak memberikan gelaran juara Formula Satu dengan mudah selepas mendominasi sesi latihan menjelang Grand Prix Brazil.

Pelumba Britain itu yang ketinggalan 19 mata di belakang Rosberg sambil berbaki dua perlumbaan, mencatat masa terpantas pada dua sesi latihan yang berlangsung dalam cuaca panas di Interlagos. Dia mencatat satu minit 11.895 saat dengan menggunakan tayar lembut di sebelah pagi.

Rosberg ketiga terpantas, ketinggalan 0.230 saat di belakangnya tetapi menamatkan sesi petang dengan lebih baik apabila hanya ketinggalan 0.030 saat di belakang Hamilton.

“Ia hari yang hebat. Kami berjaya mengharungi sesi dengan baik dan jentera pula tiada masalah,” kata Hamilton yang memburu kemenangan ketiga berturut-turut.

“Cabaran agak sengit apatah lagi dengan cuaca panas. Bukan mudah untuk mencari keseimbangan dalam keadaan begini kerana tayar juga menjadi semakin panas.”

Pemandu Red Bull Max Verstappen mencatat masa kedua terpantas di sesi pagi tetapi tercicir ke tangga keenam di sebelah petang apabila gandingan pelumba Williams Valtteri Bottas dan Felipe Massa menjadi pencabar terkuat Mercedes.

Rosberg yang menyifatkan harinya sebagai agak baik, mampu menjulang gelaran jika muncul juara minggu ini, tanpa mengira apa saja kedudukan yang dicapai Hamilton.

“Jentera kami memang pantas tetapi Red Bull mampu menjadi pencabar. Tayar lembut tidak begitu tahan untuk jangka panjang dan tayar belakang mula menghasilkan bunyi,” kata pelumba Jerman itu.

“Terdapat jumlah hakisan tayar yang agak ketara tetapi secara keseluruhan, saya rasa kami berjaya menguasai perlumbaan.”

Di atas kertas, Rosberg dilihat mempunyai peluang baik apabila menang dua perlumbaan di Brazil selepas memulakan aksi di petak utama tetapi Hamilton didorong semangat tinggi selepas menang di Texas dan Mexico sebelum ini.

Cuaca di Interlagos mampu berubah sekelip mata dan perlumbaan di situ sering penuh dengan kejutan serta drama sekali gus bermakna sukar untuk menentukan siapa yang mampu muncul juara.

Pemandu Australia Daniel Ricciardo di tangga keempat dan kelima terpantas bersama Red Bull yang semakin mantap musim ini selain muncul satu-satunya pasukan selain Mercedes yang memenangi dua perlumbaan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 November 2016 @ 5:07 AM