ROSBERG meraikan kemenangan ketiganya.
ROSBERG meraikan kemenangan ketiganya.
AFP

Spielberg, Austria: Nico Rosberg menyambut ulang tahun ke-30 menerusi kemenangan ketiga dalam empat perlumbaan setakat ini apabila mengalahkan rakan sepasukannya di Mercedes yang juga pendahulu, Lewis Hamilton di GP Austria malam tadi.

Pemandu Jerman itu yang menamatkan usia 20-an Sabtu lalu, mengulangi kejayaan 2014 apabila dia menamatkan saingan dengan kelebihan 3.8 saat di depan Hamilton, sekali gus merapatkan jurang perbezaan kepada 10 mata berbanding 17 sebelum ini.

Selepas mengharungi lapan daripada 19 perlumbaan musim ini, Hamilton yang dikenakan penalti lima saat, mengumpul 169 mata manakala Rosberg yang muncul juara di Austria tahun lalu, mengumpul 159 mata. Ini adalah kemenangan ketiga Rosberg musim ini dan ke-11 sepanjang kariernya.

Pelumba Brazil Felipe Massa menduduki tangga ketiga, 17 saat di belakang kedua-dua pelumba Mercedes itu sambil diekori Sebastian Vettel dari Ferrari, Valtteri Bottas dari Williams dan Nico Hulkenberg dari Force India.

Pastor Maldonado menduduki tangga ketujuh bersama jentera Lotus di depan Max Verstappen dari Toro Rosso manakala Sergio Perez yang memandu jentera Force India dan Daniel Ricciardo dari Red Bull berada di belakangnya.

Perlumbaan bermula dengan penuh drama sebaik Rosberg berada di depan selepas selekoh pertama dan hampir bertembung dengan juara dua kali, Fernando Alonso serta juara 2007, Kimi Raikkonen.

Dalam kemalangan itu, jentera Alonso menghimpit jentera Raikkonen. Bagaimanapun, kedua-dua pelumba tidak cedera.

“Saya akan cuba menjarakkan diri mulai sekarang,” kata Rosberg. “Saya sangat gembira kerana sekali lagi menang di sini. Jentera saya berada dalam keadaan sempurna.”

Sementara itu, Hamilton berkata: “Nico melakukan tugasnya dengan baik hari ini. Dia lebih pantas ketika perlumbaan, manakala saya pula sedikit perlahan.”

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Jun 2015 @ 9:27 AM