PEMAIN negara  meraikan kejayaan menewaskan New Zealand.
PEMAIN negara meraikan kejayaan menewaskan New Zealand.
Rizar Mohd Noor


Johor Bahru: Hanya aksi terakhir pada perlawanan klasifikasi tempat kelima dan keenam barulah skuad remaja negara memperagakan belang sebenar apabila membenam New Zealand 4-1 pada kejohanan hoki Piala Sultan Johor di Stadium Taman Daya, semalam.

Dengan kemenangan itu, skuad remaja negara menduduki tangga kelima sekali gus gagal mengekalkan pencapaian tahun lalu apabila menamatkan saingan di tempat ketiga namun jurulatih Wallace Tan tetap berpuas hati selepas mutu permainan pemainnya meningkat pada setiap perlawanan.

“Kami bersungguh-sungguh untuk memastikan kemenangan dan pemain menunjukkan prestasi yang baik biarpun hanya beraksi dalam satu pasukan pada kejohanan itu.

“Mengenai kegagalan barisan pemain melakukan penyudah pukulan sudut penalti, pemain kena bijak untuk ambil peluang sama ada mahu jaringkan gol menerusi gol padang atau pukulan sudut penalti,” kata Wallace.

Selepas meraih dua pukulan sudut penalti akhirnya, tuan rumah berjaya mencipta jaringan pada minit keenam selepas Najmi Farizal Jazlan menolak deras bola menewaskan penjaga gol, Thomas Mallon.

Gol kedua terhasil pada minit kesembilan selepas benteng skuad The Black Sticks gagal mengeluarkan bola dalam kawasan D dan kesempatan itu diambil Zulhamizan Awang Abas untuk menjaringkan gol.

Namun kerapuhan benteng pertahanan tuan rumah membuka ruang buat skuad kendalian Bryce Collins merapatkan jurang gol ketika aksi lima sebelum babak pertama berakhir menerusi gol padang Mac Wilcox.

Sedar betapa kemenangan mampu mengubat kedukaan tatkala gagal menamatkan saingan kejohanan edisi keenam di kedudukan kelompok tiga terbaik, tuan rumah meneruskan asakan dan pada minit ke-51 berpunca dari pukulan Norsyafiq yang agak lemah disambar Firdaus Fauzi yang mencipta jaringan untuk meletak tuan rumah selesa 3-1.

Berbaki dua minit untuk ditamatkan menerusi gerakan menarik Syed Shafiq Syed Cholan yang menyusup masuk ke kawasan D pantas menolak bola tepat kepada Ashran Hamsani untuk melakukan pukulan deras bagi memastikan kemenangan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 November 2016 @ 10:44 AM