PEMAIN Malaysia, Mohamad Akhimullah Anuar Esook (dua dari kanan) diasak pemain Jepun, Mizuki Ikeda (empat dari kanan) pada aksi Kejohanan Hoki Bawah 21 Tahun Piala Sultan Johor 2017, di Stadium Hoki Taman Daya. -Foto MOHD AZREN JAMALUDIN
PEMAIN Malaysia, Mohamad Akhimullah Anuar Esook (dua dari kanan) diasak pemain Jepun, Mizuki Ikeda (empat dari kanan) pada aksi Kejohanan Hoki Bawah 21 Tahun Piala Sultan Johor 2017, di Stadium Hoki Taman Daya. -Foto MOHD AZREN JAMALUDIN
Rizar Mohd Noor


SKUAD hoki remaja negara terus kempunan untuk menikmati kemenangan apabila sekadar seri 1-1 dengan Jepun pada Kejohanan Hoki Bawah 21 Tahun Piala Sultan Johor di Stadium Hoki Taman Daya, sebentar tadi.

Sepanjang aksi suku pertama, skuad kendalian Kyoichi Nagaya menguasai perlawanan apabila kerap mengatur serangan di posisi sayap kiri dan kanan, namun serangan balas tuan rumah berjaya menghasilkan pukulan sudut penalti pada minit ke-13.

Bagaimanapun, percubaan Firdaus Omar berjaya ditepis keluar penjaga gol, Yusuke Takano.

Sebaik suku kedua bermula, skuad kendalian Wallace Tan menggandakan asakan dan berjaya memecah kebuntuan pada minit ke-17 selepas Akhimullah Anuar yang tidak dikawal memukul deras bola menewaskan Takano.

Tersentak dengan jaringan itu, Jepun tampak begitu agresif memburu gol penyamaan, namun pukulan kilas Kyohei Ogawa hanya sipi dari sudut kanan pintu gol pada minit ke-23 ketika penjaga gol, Zaimi Mat Deris sudah tertewas.

Bagaimanapun, usaha Jepun untuk menyamakan kedudukan berhasil apabila Takumi Ineyama menyudahkan pukulan sudut penalti pada minit ke-32.

Kelemahan penyudah menerusi pukulan sudut penalti terus menghantui barisan pemain negara selepas bola tolakan Shello Silverius pada minit ke-43 gagal mencipta jaringan apabila mudah dihalang Takano.

KEPUTUSAN

Great Britain 4 Australia 2

Amerika Syarikat 0 India 22

Malaysia 1 Jepun 1

Jadual Perlawanan

Esok (26 Oktober 2017)

India mln Australia (4.05 petang)

Malaysia mln Amerika Syarikat (6.05 petang)

Jepun mln Great Britain(8.05 malam)

*Semua perlawanan di Stadium Hoki Taman Daya, Johor Bahru

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Oktober 2017 @ 11:50 PM