Pemain India, Dilpreet Singh (kiri) dan Vishal Singh (kanan) menyaingi pemain Malaysia, Muhammad Hassan (tengah) pada perlawanan di Johor Bahru. FOTO HAIRUL ANUAR RAHIM
Pemain India, Dilpreet Singh (kiri) dan Vishal Singh (kanan) menyaingi pemain Malaysia, Muhammad Hassan (tengah) pada perlawanan di Johor Bahru. FOTO HAIRUL ANUAR RAHIM
Rizar Mohd Noor


PRESTASI hambar dipamerkan skuad remaja negara apabila sekadar menduduki tangga keempat selepas dibelasah India 4-0 pada aksi penentuan tempat ke-3/4 pada kejohanan hoki B-21 Piala Sultan Johor di Stadium Hoki Taman Daya, Johor Bahru, hari ini.

Ketua jurulatih, Wallace Tan mengakui empat gol dijaringkan India pada babak pertama terutama pada suku pertama dan kedua menyebabkan pemainnya hilang tumpuan.

€œPemain cuba bangkit pada babak kedua tapi masalah penyudah dan gagal menyempurnakan pukulan sudut penalti masih menghantui dan mereka seolah-olah tidak mampu menandingi kekuatan India, kata Wallace.

Walaupun berjaya menghalang pukulan sudut penalti Pratap Lakra m-10 namun penjaga gol tuan rumah, Zaimi Mat Deris tertewas selang seminit kemudian selepas kapten Vivek Prasad mencipta gol padang untuk meletak skuad kendalian Jude Felix Sebastian mendahului 1-0.

Ketika aksi memasuki hujung suku pertama, gawang tuan rumah bolos lagi dan giliran Vishal Antil pantas melakukan pukulan kilas untuk menewaskan Zaimi selepas menerima bola umpanan Dilpreet Singh.

Kerapuhan benteng tuan rumah begitu mudah diatasi India pada minit ke-21 apabila Shilanand Lakra yang tidak dikawal berjaya menyusup masuk ke kawasan D sebelum menguis bola menewaskan Zaimi untuk meletak juara remaja dunia itu selesa dengan jaringan 3-0.

Aksi tidak konsisten tuan rumah digunakan sepenuhnya India untuk mencipta gol keempat pada minit ke-25 selepas bola tolakan Dilpreet mudah buat Antil mencetak gol kedua peribadi selepas melakukan pukulan deras menewaskan Zaimi.

Sementara itu, Jepun di bawah bimbingan Kyoichi Nagaya terpaksa akur di tempat kelima selepas mudah meratah Amerika Syarikat 11-0 namun kedudukan itu bukanlah pencapaian terbaik pasukan Negara Matahari Terbit selepas menduduki tangga ketiga tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 Oktober 2017 @ 8:55 PM