PEMAIN negara Akhimullah Anuar meraikan jaringan ketika menentang England.
PEMAIN negara Akhimullah Anuar meraikan jaringan ketika menentang England.
Rizar Mohd Noor


Johor Bahru: Skuad remaja negara terpaksa akur dengan kehebatan England selepas tewas 1-3 pada aksi kejohanan hoki Bawah 21 Tahun Piala Sultan Johor di Stadium Taman Daya, malam tadi.

Seawal minit kelapan, England terpaksa beraksi dengan lapan pemain selepas tiga pemainnya dilayangkan kad hijau dan diperintah keluar padang selama dua minit berikutan kekasaran terhadap pemain muda negara namun tuan rumah gagal mengambil kesempatan untuk memburu gol awal.

Skuad kendalian Jon Bleby yang kerap mengasak ke kubu tuan rumah berjaya meraih pukulan sudut penalti namun bola tolakan Will Calnan diselamatkan penjaga gol, Ridzwan Azmi.

Namun pintu gol tuan rumah mudah dirobek England pada minit ke-17 selepas gerakan menarik yang dimulakan oleh Peter Scott disambar Nick Page yang bingkas melakukan pukulan kilas sukar buat Ridzwan menyelamatkan bola daripada menerjah jaring.

Bagaimanapun semangat juang anak didik Wallace Tan tampak tidak luntur sebalik berjaya memadam gol awal England itu pada minit ke-22 selepas bola pukulan Najib Abu Hassan ditampan kemas Akhimullah Anuar Esook menewaskan penjaga gol, Chris Wyver untuk menyamakan jaringan.

Namun berpunca daripada pukulan sudut penalti, England sekali lagi berada di depan selepas Calnan menyudahkan dengan tepat pada minit ke-23 menewaskan Ridzwan.

Walaupun meraih dua pukulan sudut penalti berturut-turut pada minit ke-28, tuan rumah masih gagal untuk mencipta gol penyamaan selepas bola tolakan Najmi Farizal Jazlan tidak tepat ke pintu gol.

Bersambung babak kedua, tuan rumah mula menggandakan asakan untuk memburu gol penyamaan tatkala peluang terhidang Luqman Nur Hakim Shukran pada minit ke-46 yang menolak bola sekadar sipi dari gawang gol ketika Wyver sudah tertewas.

Tuan rumah tersentak dengan gol lawan selepas Christopher Proctor bertindak pantas untuk menyudahkan gol padang pada minit ke-59 untuk meletak England selesa dengan jaringan 3-1.

Sementara itu, Australia membuka tirai kejohanan edisi keenam dengan melakar kemenangan besar menewaskan pendatang baharu Jepun 6-0 untuk berada di tangga teratas manakala Pakistan tampak memberi amaran awal betapa pasukan itu tampak sudah bersedia selepas mudah menewaskan New Zealand 5-2.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 November 2016 @ 6:27 AM