SELESA memandu pelbagai permukaan jalan.
SELESA memandu pelbagai permukaan jalan.
KENDERAAN pacuan empat roda rasmi bagi Kejohanan Harian Metro Mountain Bike Grand Prix Cuti-Cuti 1Malaysia 2014.
KENDERAAN pacuan empat roda rasmi bagi Kejohanan Harian Metro Mountain Bike Grand Prix Cuti-Cuti 1Malaysia 2014.
TERBUKTI lasak selepas ditugaskan untuk memunggah minuman kepada peserta MTB.
TERBUKTI lasak selepas ditugaskan untuk memunggah minuman kepada peserta MTB.

Sebelum ini, penulis menguji trak pikap menerusi Isuzu D-Max dengan hanya memandu di sekitar Lembah Klang dengan gaya pemanduan biasa dan lebih kepada santai.

Penulis mengakui pemanduan seperti itu tidak menguji keupayaan sebenar trak pikap yang diperkenalkan di negara ini pada Mei tahun lalu.

Namun, sejak jentera ini menjadi kenderaan pacuan empat roda rasmi bagi Kejohanan Harian Metro Mountain Bike (MTB) Grand Prix Cuti-Cuti 1Malaysia 2014, baru kehebatannya terserlah selepas penulis turut terbabit dalam acara berkenaan.

Kejohanan itu mempunyai lima siri bermula di Kuala Kangsar, Perak; Temerloh, Pahang; Nibong Tebal, Pulau Pinang; Asahan, Melaka dan terakhir di Kuala Kubu Bharu, Selangor pada 27 Disember ini.

Sepanjang program itu, keupayaannya trak pikap ini sebenarnya boleh 'diukur' kepada tiga bahagian membabitkan pemanduan di lebuh raya, tugas mengangkut barang dan meredah laluan lasak untuk meninjau trek peserta MTB.

> Pemanduan di lebuh raya

Penulis perlu memandu melebihi tiga jam untuk tiba ke destinasi bagi setiap program MTB itu dengan melalui lebuh raya atau menggunakan jalan kampung.

Setiap perjalanan yang perlu ditempuh adalah melebihi 200 kilometer dan ia mungkin mencabar jika memandu trak pikap yang sebelum ini dianggap kenderaan kurang selesa untuk pemanduan jauh.

Namun, tanggapan itu perlu dikikis kerana jentera trak pikap masa ini, terutama Isuzu D-Max, masih mementingkan keselesaan penumpang serta pemandunya.

Tempat duduk belakang dan ruang kaki menjadi faktor kelebihannya berikutan mempunyai ruang luas sekurang-kurangnya penumpang belakang boleh melelap­kan mata seketika untuk menghilangkan penat.

Gaya pemanduan di lebuh raya seiras memandu kereta sedan, cuma daya penglihatannya mungkin lebih baik kerana kedudukannya lebih tinggi.

Sepanjang memandu di lebuh raya, penulis rasa seronok dengan kelajuan yang sedikit tinggi dan olengan jentera ini tidaklah keterlaluan dan masih stabil.

Isuzu D-Max generasi kedua ini turut membuktikan kehebatan enjin 2.5 liter yang menjimatkan minyak.

Enjin baru bersesaran 2.5 liter Super Commonrail bersama sistem turbo Variable Geometry System (VGS) ini tidak terlalu 'kedekut' menyalurkan kuasa sepanjang memandunya.

Penulis boleh merasa kekuatan enjinnya ketika menekan pedal minyaknya selepas menyalurkan kuasa maksimum sehingga 136 Ps pada 3,600 rpm, manakala tork pada 320 Nm.

> Tugas mengangkut barang

Kadangkala penulis terkejut dengan keupayaan Isuzu D-Max menggalas tugas berat untuk memunggah barangan seperti air minuman dalam kuantiti banyak.

Tidak sedikit pun kenderaan ini 'meragam' atau 'merajuk' ketika ditugaskan mengangkut barang, sekali gus membuktikan ia trak pikap yang lasak.

Biarpun di tempat belakang dipenuhi air minuman, ia masih mampu membawa beban itu tanpa masalah dengan keupayaan tork setinggi 320 Nm.

Sepanjang empat program MTB diadakan sebelum ini, ia tidak langsung mengeluarkan bunyi sama ada sistem suspensi selepas memunggah air minuman dalam kuantiti yang banyak itu.

Malah, bagi mereka yang gemarkan aktiviti lasak, jentera ini sangat sesuai kerana ruang belakang itu boleh mengisi basikal tanpa memerlukan modifikasi.

> Meredah laluan lasak

Kuasa dibekalkan jentera ini cukup untuk memandunya di laluan lasak tanpa masalah.

Bagi memberi lebih cengkaman, mungkin lebih sesuai menukar pacuan dua kepada empat roda dengan hanya menggunakan butang.

Setakat mendaki bukit dengan meredah jalan berbatu, jentera ini tidak langsung memberi masalah dan mampu menonjolkan kemampuan Isuzu D-Max.

Ternyata kenderaan ini memiliki kelasakan, sistem suspensi dan ke­stabilan kenderaan yang membuatkan pemandu selesa.

Dengan menggunakan transmisi automatik, ia memberi pengalaman lebih menarik kepada penulis.

Walaupun ramai menganggap pemanduan menggunakan kotak gear manual lebih mudah untuk laluan lasak, penulis berpendapat transmisi automatik juga bagus, terutama kepada pemandu yang baru mengenali pemanduan kenderaan pacuan empat roda.

Jika mahu melalui jalan lebih lasak dan berlumpur, mungkin tayar digunakan pada jentera ini tidak sesuai untuk tujuan itu.

Ternyata, keupayaan jentera ini tidak boleh dinafikan lagi, sama ada untuk pemanduan di kawasan urban atau pendalaman, kerana sangat berbaloi untuk dimiliki.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Disember 2014 @ 5:13 AM