VARIAN 1.9 Premium pilihan popular.
VARIAN 1.9 Premium pilihan popular.

Minat terhadap trak pikap dalam kalangan orang ramai semakin berkembang dan antara yang mencatat jualan yang baik ialah model Isuzu D-Max.

Sejak Januari hingga Jun lalu, 4,237 unit sudah didaftarkan dan ia menyaksikan peningkatan 143 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

Malah jualan separuh tahun ini adalah setanding dengan jualan keseluruhan tahun lalu iaitu sebanyak 4,601 unit.

Ia melonjakkan jenama ini dalam kedudukan ketiga pasaran segmen trak pikap di Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif Isuzu Malaysia Shunsuke Okazoe berkata, sejak pengenalan Isuzu D-Max Baharu, pihaknya melihat pertambahan minat dalam penggunaan trak pikap terutama dalam kalangan pembeli kali pertama.

"Pengguna berminat dengan keseimbangan yang ditawarkan D-Max yang membabitkan prestasi, kelasakan, keselesaan serta teknologi yang ada padanya. Ia umpama kereta penumpang keluarga.

"Dengan prestasi enjin melalui penggunaan bahan api yang cekap serta cukai jalan yang terendah dalam kelasnya, varian 1.9 liter Blue Power menjadi pilihan utama pembeli. Ia menyumbang 80 peratus jualan keseluruhan," katanya.

Menurut beliau, varian flagship X-Terrain juga semakin mendapat sambutan dan ia menyumbang 10 peratus daripada jumlah keseluruhan jualan.

Katanya, ini kerana, Isuzu tidak pernah menikmati penerimaan yang kukuh seperti itu dalam segmen kenderaan gaya hidup sebelum ini, dengan tumpuan hanya diberikan sepenuhnya terhadap penawaran sebagai jentera kerja.

Dengan pilihan lapan varian yang ditawarkan, barisan Isuzu D-Max direka untuk menawarkan kenderaan paling ideal untuk memenuhi keperluan pelanggan.

Hampir semua barisan trak pikap ini hadir dengan keupayaan pacuan 4x4, dengan hanya satu varian 4x2 automatik disediakan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Julai 2022 @ 5:23 PM