DAISUKE (tengah) memperkenalkan Isuzu D-Max Artic.
DAISUKE (tengah) memperkenalkan Isuzu D-Max Artic.

Kuala Lumpur: Isuzu Malaysia Sdn Bhd optimis mahu menduduki tempat kedua dalam penguasaan pasaran segmen trak pikap menerusi Isuzu D-Max dengan menyasarkan 7,500 unit jualan pada tahun ini.

Ketua Pegawai Operasinya, Daisuke Ishida berkata, generasi kedua Isuzu D-Max menerima sambutan yang baik selepas mencatat jualan sehingga 6,000 unit, selain menduduki tempat ketiga dalam penguasaan pasaran segmen trak pikap pada 2013.

Menurutnya, Isuzu D-Max yang menggunakan kapasiti enjin 2.5 liter mencatatkan jualan tertinggi sehingga 60 peratus manakala varian 3.0 liter menjadi pilihan pemandu di Sabah dan Sarawak seperti di Sabah.

“Isuzu D-Max bukan saja boleh dipandu di laluan lasak, malah boleh digunakan di mana saja bagi memenuhi gaya hidup masyarakat di bandar atau sebaliknya menjadi faktor untuk mencapai sasaran itu pada tahun ini.

“Selain itu, kunci utama pada jentera ini adalah tahan lasak, jimat minyak serta dilengkapi ciri keselamatan yang memberi kebaikan kepada bakal penggunanya,” katanya ketika ditemui selepas program Isuzu Dura-Mission 2015 di Kiulu, Sabah, baru-baru ini.

Daisuke berkata, kini pihaknya mempunyai 45 cawangan dan bakal membuka 10 lagi di seluruh negara bagi mengembangkan lagi rangkaian pasarannya pada 2015.

Sementara itu, beliau turut memaklumkan akan memperkenalkan kenderaan utiliti sukan (SUV), Isuzu MU-X yang mempunyai tujuh tempat duduk pada tahun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 January 2015 @ 7:22 AM