SAMA hebat Isuzu D-Max dan MU-X.
SAMA hebat Isuzu D-Max dan MU-X.
Erywan Norshal


Selain daripada jentera komersial, Isuzu Malaysia Sdn Bhd mempertaruhkan dua model kenderaan penumpang menerusi Isuzu D-Max dan MU-X.

Keupayaan model ini sebenarnya tidak boleh dipertikaikan lagi apabila ia menggunakan enjin diesel yang sudah terbukti tahan lasak berikutan syarikat pengeluar automotif itu sangat ‘otai’ dalam menghasilkan rangkaian kuasa berkenaan.

Malah boleh dikatakan enjin berkenaan menawarkan penjimatan bahan api terbaik serta tidak ‘manja’ jika diasak dengan pemanduan agresif.

Ini terbukti apabila penulis memandu kedua-dua model berkenaan bergilir-gilir ketika program Titipan Kasih Harian Metro (TKHM) baru-baru ini.

Kedua-dua jentera ini masih dalam keadaan baik dengan tiada gangguan bunyi tidak enak atau kekurangan kuasa biarpun jarak pemanduannya mencecah 40,000 kilometer.

Pemanduan Isuzu D-Max

Penulis perlu memandu melebihi tiga jam untuk tiba ke destinasi bagi program di Bagan Serai, Perak dengan melalui lebuh raya serta jalan kampung.

Perjalanan hampir 300 kilometer dan ia mungkin mencabar jika memandu trak pikap dianggap kurang enak untuk pemanduan jarak jauh.

Namun, tanggapan itu perlu dikikis kerana jentera trak pikap masa ini, terutama Isuzu D-Max masih mementingkan keselesaan penumpang serta pemandunya.

Tempat duduk dan ruang kaki menjadi faktor kelebihannya berikutan mempunyai ruang luas sekurang-kurangnya penumpang belakang boleh melelapkan mata seketika untuk menghilangkan penat.

Gaya pemanduan di lebuh raya seiras memandu kereta sedan, cuma daya penglihatannya mungkin lebih baik kerana kedudukannya lebih tinggi.

Sepanjang memandu di lebuh raya, penulis seronok dengan kelajuan yang sedikit tinggi dan olengan jentera ini tidaklah keterlaluan dan masih stabil.

Isuzu D-Max generasi kedua ini turut membuktikan kehebatan enjin 3.0 liter yang menjimatkan minyak.

Enjin itu menggunakan sistem turbo geometri boleh ubah (VGS) untuk memberi kuasa mengikut kehendak penulis, memandangkan torknya cukup tinggi sehingga 380Nm.

Kadangkala penulis terkejut dengan keupayaan Isuzu D-Max menggalas tugas berat memunggah barangan dalam kuantiti banyak.

Tidak sedikit pun kenderaan ini ‘meragam’ atau ‘merajuk’ ketika ditugaskan mengangkut barang, sekali gus membuktikan ia trak pikap yang lasak.

Sepanjang program itu, D-Max tidak langsung mengeluarkan bunyi pada sistem suspensi selepas memunggah barangan dalam kuantiti banyak.

Pemanduan Isuzu MU-X

Kenderaan utiliti sukan (SUV) ini mewarisi kehebatan genetik generasi kedua trak pikap, Isuzu D-Max.

Isuzu MU-X menampilkan bentuk seimbang dan kemas dengan garis rekaannya bergerak lancar dari bahagian depan ke belakang dalam bentuk baji.

Biarpun mewarisi genetik Isuzu D-Max, rekaan depannya berbeza dan menonjol dengan padanan perumah lampu utama projektor serta lampu nyalaan siang LED hadir sebagai ciri standard bagi varian 4x4.

Penulis tertarik kepada kelebihan enjin diesel commonrail 2.5 liter 4JK1-TCX empat silinder yang ditawarkan dengan menampilkan sistem turbo geometri boleh ubah (VGS) ini.

Enjin yang menghasilkan kuasa maksimum sehingga 100kW dan tork 320Nm serendah 1,800rpm ini pernah diuji dalam pemanduan lebih 1,800 kilometer dari Bangkok, Thailand ke Singapura dengan kurang setangki bahan api sebelum ini.

Bagaimanapun, kuasa pecutan tidak terlalu ‘power’ tetapi memadai untuk pemanduan santai bersama keluarga dalam kelajuan antara 120 sehingga 140km/j. Sebenarnya, kekurangan kuasa itu bertujuan memberi kelebihan dalam penjimatan minyak yang maksimum.

Selain itu, penulis rasa kagum dengan kedapan bunyinya kerana ia lebih senyap berbanding Isuzu D-Max.

Dalam kelajuan sederhana, penumpang belakang boleh menikmati keselesaan optimum apabila kurang rasa bergoyang, sekali gus membuatkan Isuzu MU-X stabil di jalan raya.

Ini kerana ia menggunakan suspensi jenis pegas gegelung pada keempat-empat rodanya bersama ‘wishbone’ berganda pada roda depan.

Sementara roda belakang pula menggunakan khidmat suspensi jenis ‘five-link active’ untuk meningkatkan keselesaan dan pada masa sama memberi keyakinan di selekoh.

Penulis boleh katakan, kedua-dua model ini menawarkan keistimewaan tersendiri sesuai untuk pemanduan harian atau aktiviti lasak pada hujung minggu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Julai 2016 @ 5:59 AM