PASUKAN KOBANAS ungguli Kejohanan Badminton Koperasi bersama Bank Rakyat 2017.
PASUKAN KOBANAS ungguli Kejohanan Badminton Koperasi bersama Bank Rakyat 2017.

Kuala Lumpur: Kombinasi mantap dipamerkan beregu lelaki dan beregu campuran Koperasi Bank Simpanan Nasional (KOBANAS) membolehkan mereka dinobat juara Kejohanan Badminton Koperasi bersama Bank Rakyat di Menara Kembar Bank Rakyat, hujung minggu lalu.

KOBANAS merangkul hadiah wang tunai RM1,300 dan pingat manakala naib juara disandang oleh Koperasi FELDA (FELKOP) yang menerima hadiah wang tunai RM900 serta pingat.

Sementara itu, tempat ketiga dan keempat yang menawarkan hadiah RM400 berserta pingat dikongsi bersama pasukan Koperasi FELCRA dan Koperasi Siswazah Malaysia (Gemilang).

Pada perlawanan akhir itu, KOBANAS diwakili Tengku Shaiful Azhar Tengku Moh Yusof dan Nik Azlishah Nik Ahmad Damian terpaksa berhempas-pulas berdepan cabaran Mohd Aiman Salam Abd Aziz dan Ahmad Nasa’i Mohd Nor.

Perlawanan berlanjutan hingga set ketiga sebelum keputusan akhirnya memihak kepada KOBANAS yang berjaya mengetepikan cabaran sengit FELKOP 17-21, 21-10, 22-20.

Perlawanan beregu campuran pula menyaksikan wakil KOBANAS, Mohd Nur Helmi Arazmi-Noor Shiratul Shafinaz Mazeham menumpaskan Mohd Fazlie Shaari-Simaa Iskandar 21-7, 21-5.

Hadiah disampaikan oleh Pengerusi Koperasi NSTP Mohd Fadzil Abdul Ghani dan Pengurus Saluran dan Penghantaran IT Bank Rakyat, Azran Omar.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Februari 2017 @ 12:03 PM