NIZAR  (dua dari kanan) bersama piala pusingan  Kejohanan Sepak Takraw Tertutup Pekan merebut Piala Legasi Tun Abd Razak.
NIZAR (dua dari kanan) bersama piala pusingan Kejohanan Sepak Takraw Tertutup Pekan merebut Piala Legasi Tun Abd Razak.

Kuantan: Aksi cemerlang sepanjang pertandingan menjadi kelebihan kepada regu Beserah B untuk muncul juara selepas menewaskan Sri Menanti B 3-0 pada Kejohanan Sepak Takraw Tertutup Pekan merebut Piala Legasi Tun Abdul Razak di Kompleks Sukan Universiti Malaysia Pahang (UMP) kampus Gambang baru-baru ini.

Pada saingan akhir, Beserah B menang 21-19, 16-21 dan 15-9 dalam tempoh 45 minit sekali gus membawa pulang hadiah RM1,500, piala pusingan dan pingat manakala Sri Menanti B menerima RM700 dan pingat.

Hadiah disampaikan Penasihat Kelab Program Mesra Dakwah (PERAMAH) Parlimen Pekan Datuk Mohd Nizar Najib.

Tempat ketiga kejohanan berpihak kepada pasukan Kampusa diikuti Kampung Tanjung Medang. Kedua-dua regu membawa pulang hadiah RM400 dan RM300 serta pingat.

Kejohanan kali pertama itu dianjurkan PERAMAH yang disertai 38 pasukan dan menawarkan hadiah keseluruhan lebih RM2,500 bertujuan mencungkil bakat baru selain mengeratkan lagi hubungan di kalangan belia.

Sementara itu, Mohd Nizar berkata, kejohanan berkenaan adalah sokongan kepada Transformasi Nasional 2050 (TN50) yang diharap menjadi gelanggang menguji kebolehan golongan belia seterusnya membuka laluan untuk melangkah lebih jauh dalam sukan sepak takraw.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Mei 2017 @ 10:32 AM