PEMAIN Atletico, Jackson Martinez (tengah)  menanduk bola sambil diasak pemain Getafe.
PEMAIN Atletico, Jackson Martinez (tengah) menanduk bola sambil diasak pemain Getafe.
AFP

Madrid: Atletico Madrid melonjak ke tangga teratas La Liga selepas dua jaringan Antoine Griezmann memberikan kemenangan 2-0 ke atas Getafe, awal pagi semalam.

Griezmann memastikan permulaan cemerlang tuan rumah menerusi gol pertama pada minit ke-5 sebelum mengesahkan kemenangan apabila menjaringkan gol kedua hasil hantaran lintang Jackson Martinez.

Kemenangan itu membolehkan Atletico berada di kedudukan teratas menerusi kelebihan jaringan berbanding juara bertahan, Barcelona.

Barca dan Real Madrid bakal bertandang ke Celta Vigo dan Athletic Bilbao awal pagi esok.

“Gol awal itu meletakkan kami di landasan tepat untuk menang,” kata pengurus Atletico Diego Simeone.

“Kami bermain baik sepanjang 10 minit permainan dan semakin meningkat ketika permainan berbaki 20 minit.

“Di antara tempoh itu, kami tidak dapat mencipta peluang untuk membunuh semangat juang lawan dan membenarkan mereka berlegar-legar dalam kawasan kami terutama di hujung babak pertama serta awal babak kedua.”

Simeone melakukan enam perubahan ke atas Atletico yang menang 2-0 di Eibar, Sabtu lalu tetapi ia langsung tidak menjejaskan rentak tuan rumah.

Sepakan sudut diambil pemain tuan rumah gagal dikeluarkan dengan baik dan Griezmann yang menerima hantaran, bijak mengawal bola sebelum meledakkan rembatan untuk gol pertama.

Yannick Ferreira Carrasco yang diberi peluang untuk membuktikan kebolehannya, bermain baik dan hampir menggandakan kelebihan tetapi rembatannya sedikit tersasar.

Selepas beberapa ketika, Griezmann sekali lagi memahat namanya selaku penjaring kedua perlawanan untuk mengumpul lima jaringan setakat ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 September 2015 @ 5:37 AM