KETUA Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan, Datuk Nazri Siron ketika memberi penerangan mengenai Ops Ulat KLIA di Pejabat Jabatan Pengangkutan Jalan  KLIA, Sepang. FOTO Nursyahirah Marzuki
KETUA Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan, Datuk Nazri Siron ketika memberi penerangan mengenai Ops Ulat KLIA di Pejabat Jabatan Pengangkutan Jalan KLIA, Sepang. FOTO Nursyahirah Marzuki
Nursyahirah Marzuki


Sepang: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sudah mengambil tindakan terhadap 85 individu yang terbabit dalam aktiviti 'ulat' atau teksi haram di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan klia2 sejak awal tahun ini.

Ketua Pengarah JPJ Datuk Nazri Siron berkata, jumlah tertinggi direkodkan pada bulan dengan 18 individu ditahan, dan didakwa mengikut Seksyen 205(1) Akta Pengangkutan Awam Darat 2010.

"Tangkapan ini adalah hasil daripada dua siri operasi dikenali sebagai OPS Khas Ulat KLIA dan klia2 pada 8, 9, 21 dan 22 Oktober lalu membabitkan kekuatan 54 anggota JPJ Selangor.

"Dalam dua siri operasi ini terdapat dua pesalah yang ditangkap melakukan kesalahan kali kedua dan sanggup berdepan dengan pihak berkuasa semata-mata mahu mencari pelanggan di sekitar pintu masuk negara," katanya pada sidang media Ops Ulat Klia di sini hari ini.

Hadir sama Pengarah JPJ Selangor Nazli Md Taib dan Ketua Seksyen Penguatkuasa KLIA Sarawanan Sendrasaran.

Katanya, tangkapan ulat pada Oktober adalah yang tertinggi tahun ini, dan ia dijangka meningkat terutama pada akhir tahun kerana bermulanya musim cuti panjang.

"Kita akan terus melakukan operasi secara berterusan, malah saya juga sudah memaklumkan kepada penguatkuasa di setiap negeri yang terbabit dengan lapangan terbang untuk sentiasa melakukan pemantauan,' katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Oktober 2016 @ 1:17 PM