JPJ tahan kegiatan ulat di klia2 semalam. FOTO ihsan JPJ
JPJ tahan kegiatan ulat di klia2 semalam. FOTO ihsan JPJ
Samadi Ahmad


Putrajaya: Tiga 'ulat teksi sapu' menggunakan kenderaan mewah ditahan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2 ) di sini, semalam, selepas didapati menawarkan khidmat sewa haram.

JPJ Selangor berkata, tangkapan 'ulat' itu dibuat hasil intipan dan pemantauan anggotanya di Stesen Penguatkuasa JPJ KLIA terhadap kegiatan menawarkan khidmat kenderaan sewa tidak berlesen atau secara haram.

Menurutnya, siasatan awal mendapati suspek mengenakan tambang kepada penumpang warga tempatan dan pelancong asing antara RM100 hingga RM200 iaitu bagi perjalanan dari klia2 ke Subang Jaya atau Kuala Lumpur.

Katanya, mana-mana individu yang ditahan boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 205(1), Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (APAD 2010), yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM50,000.

"Selain denda, individu yang bersalah juga boleh dipenjara selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua - duanya. Sesiapa yang bersubahat melakukan aktiviti itu juga boleh didakwa mengikut Seksyen 243(1), di bawah akta sama," katanya.

JPJ turut menasihati orang ramai menggunakan perkhidmatan pengangkutan yang sah sama ada melalui kaunter perkhidmatan disediakan di KLIA dan klia2 selain membuat tempahan melalui aplikasi e-hailing.

Katanya, penguatkuasaan ini akan dilaksanakan secara berterusan dari semasa ke semasa dan tindakan tegas akan diambil ke atas pemandu atau pemilik kenderaan yang menawarkan perkhidmatan kereta sewa tidak berlesen atau secara haram.

Orang ramai boleh menyalurkan sebarang aduan trafik kepada [email protected] atau platform aplikasi e-aduan@JPJ beserta butiran pengadu dan butiran aduan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Jun 2022 @ 2:51 PM