KENDERAAN yang disita SPAD selepas didapati menjalankan kegiatan prebet sapu di Terminal KLIA dan KLIA 2. - Foto E-mel
KENDERAAN yang disita SPAD selepas didapati menjalankan kegiatan prebet sapu di Terminal KLIA dan KLIA 2. - Foto E-mel
Mohd Hasbi Sidek


HASIL penyamaran dilakukan Penguatkuasa Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) di Terminal Lapangan Terbang Antarabangsa (KLIA) dan KLIA 2, berjaya menahan tiga lelaki yang menjalankan aktiviti prebet sapu, semalam.

Dalam operasi bermula 8 pagi itu, dua daripada pemandu terbabit adalah pemandu perkhidmatan e-hailing yang berdaftar dengan SPAD, namun dikesan masih menjalankan kegiatan prebet sapu.

Jurucakap SPAD berkata, ketiga-tiga suspek dikesan memujuk dan menawarkan perkhidmatan kenderaan kepada warga tempatan bagi membuat perjalanan ke sekitar Damansara, Selangor dan ibu kota dengan kadar bayaran tambang dari RM60 hingga RM150.

“Operasi Khas Parasit dilaksanakan bagi membanteras kegiatan ulat dan kereta sapu di Terminal KLIA serta KLIA 2 membabitkan seorang pegawai dan 25 anggota SPAD KLIA yang menyamar.

“Suspek pertama lelaki berusia 53 tahun yang menggunakan kenderaan sendiri ditahan 10 pagi selepas dikesan memujuk penumpang bagi perjalanan ke Damansara dengan kadar bayaran RM150,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, suspek kedua adalah lelaki berusia 34 tahun yang menggunakan perkhidmatan aplikasi e-hailing dikesan memujuk pelanggan pada 11.30 pagi di aras dua, Balai Ketibaan KLIA 2.

“Lelaki itu adalah pemandu berdaftar dengan syarikat e-hailing yang sah, namun tidak menggunakan aplikasi berkenaan untuk mencari pelanggan, sebaliknya menggunakan pendekatan memujuk.

“Suspek ketiga lelaki berusia 42 tahun yang juga pemandu perkhidmatan e-hailing dan ditahan di sekitar lobi lif aras CP3, parkir blok B KLIA 2 kerana memujuk seorang pelanggan bagi perjalanan ke ibu kota,” katanya.

Beliau berkata, dua daripada kenderaan berkenaan disita dan dibawa ke Tapak Sitaan Bandar Enstek, Nilai, Negeri Sembilan.

Menurutnya, mereka didapati melanggar Seksyen 205(1) dan Seksyen 16(1) Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 kerana kesalahan memujuk serta mengadakan sesuatu perkhidmatan kenderaan perkhidmatan awam tanpa lesen pengendali.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 April 2018 @ 11:57 PM