PROSES pendaftaran  akan diadakan di Dewan Besar KVPD, bermula jam 3 petang ini.
PROSES pendaftaran akan diadakan di Dewan Besar KVPD, bermula jam 3 petang ini.
Khairul Najib Asarullah Khan


Port Dickson: Kolej Vokasional Port Dickson (KVPD) bakal menjadi tumpuan jaguh lumba basikal seluruh negara sempena kejohanan basikal lasak Harian Metro Mountain Bike (HMMTB) Grand Prix 2016 Sirkit 2 di Lukut di sini, esok.

Pengarang Bersekutu (Rencana) Harian Metro Husain Jahit berkata, KVPD yang menjadi tuan rumah kali ini turut dilengkapi pelbagai kemudahan yang mampu menarik kehadiran orang ramai.

Beliau berkata, selain itu, kejohanan ini mampu mempromosikan KVPD sebagai pusat pembelajaran yang menawarkan pelbagai bidang kemahiran.

“Kami (Harian Metro) berterima kasih kepada KVPD atas kerjasama mereka. Bagi sirkit kedua ini, penganjur menyediakan laluan penuh cabaran sepanjang 46.1 kilometer yang meliputi pelbagai laluan sukar dan mudah.

“Kami harap pemilihan lokasi ini mampu menarik lebih 1,000 peserta dan peminat sukan berbasikal lasak membanjiri daerah ini bagi mempromosikan KVPD,” katanya.

Sementara itu, Husain berkata, proses pendaftaran peserta akan diadakan di Dewan Besar KVPD, bermula jam 3 petang ini.

“Kaunter pendaftaran akan ditutup pada jam 10 malam sebelum kayuhan bermula keesokan harinya. Semua peserta dinasihatkan membawa kad pengenalan asal serta slip pembayaran pada hari pendaftaran nanti.

“Pada masa sama, penganjur akan mengadakan taklimat untuk peserta petang esok (ini). Justeru, penganjur menasihatkan supaya datang awal bagi mengelak kesulitan pada hari pendaftaran,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Oktober 2016 @ 11:49 AM