HUSAIN  (tengah) menyampaikan naskhah Harian Metro 25 Tahun kepada wakil Majlis Perbandaran Port Dickson.
HUSAIN (tengah) menyampaikan naskhah Harian Metro 25 Tahun kepada wakil Majlis Perbandaran Port Dickson.
Mohd Khidir Zakaria dan Khairul Najib Asarulah Khan

Port Dickson: Port Dickson bakal menjadi tumpuan ramai pengunjung apabila dipilih menjadi venue penganjuran Harian Metro Mountain Bike (HMMTB) Grand Prix 2016 Sirkit 2, pada 22 Oktober ini.

Acara itu dijangka menarik lebih 1,500 peminat acara sukan basikal lasak dari dalam dan luar negara.

Penganjuran kejohanan berkenaan dilihat turut menjadi medium untuk mempromosikan destinasi pelancongan di Negeri Sembilan terutama Port Dickson yang terkenal dengan keindahan pantai peranginan dan bandar tentera.

Pengarang Bersekutu (Rencana) Harian Metro Husain Jahit berkata, Kolej Vokasional Port Dickson (KVPD) akan menjadi tuan rumah bagi penganjuran acara sukan basikal lasak itu.

Pihaknya berharap penganjuran HMMTB itu membolehkan kawasan KVPD menjadi tumpuan orang ramai dan pada masa sama mampu mempromosikannya kepada semua pihak.

“Bagi memastikan kelancaran kejohanan, pihak kami mengadakan mesyuarat yang memfokuskan persiapan urusetia selain membincangkan tindakan yang perlu dilakukan pada hari kejohanan nanti.

“Harian Metro memilih lokasi ini kerana dilihat amat sesuai dan mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terbabit atas kerjasama yang diberikan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan perbincangan bersama semua wakil di Bilik Mesyuarat Unit Korporat dan Pelancongan Port Dickson di sini, semalam.

Dalam mesyuarat itu, beberapa agensi berkaitan turut hadir seperti KVPD, Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD), Pasukan Bomba dan Penyelamat Port Dickson, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Ini adalah kejohanan HMMTB pertama diadakan di daerah ini dan secara tidak langsung akan membuka penyertaan kepada warga tempatan untuk mendaftar sebagai peserta,” katanya.

Kejohanan itu dijangka membabitkan kayuhan sejauh antara 35 hingga 45 kilometer yang akan bermula dan berakhir di KVPD. Peserta akan melalui laluan seperti jalan raya, ladang sawit dan landasan kereta api.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Oktober 2016 @ 10:56 AM