SEBAHAGIAN  peserta yang hadir pada pendaftaran Kejohanan HMMTB di Bukit merah Laketown Resort semalam.
SEBAHAGIAN peserta yang hadir pada pendaftaran Kejohanan HMMTB di Bukit merah Laketown Resort semalam.
SEBAHAGIAN peserta Lelaki Junior  dari  Kedah membuat persiapan dengan memasang nombor pada basikal masing-masing.
SEBAHAGIAN peserta Lelaki Junior dari Kedah membuat persiapan dengan memasang nombor pada basikal masing-masing.
Mohd Hafizee Mohd Arop & Nor Raidah Awang

Bukit Merah: Kejohanan Harian Metro Mountain Bike Grand Prix 2017 di Bukit Merah Laketown Resort secara rasmi membuka tirai apabila 1,200 pelumba tempatan dan luar negara memulakan saingan hari ini.

Kejohanan siri pertama itu sememangnya ditunggu pelumba basikal di seluruh tanah air terutama di kawasan utara kerana menyediakan cabaran untuk menguji kemampuan dan kemahiran individu mahupun berpasukan.

Bahang saingan mula dirasai sejak semalam apabila peserta mula mendaftar di kaunter pendaftaran dan mengambil beg cenderahati di Dewan Sepat, bermula jam 3 petang hingga 10 malam tadi.

Pengerusi Kejohanan merangkap Pengarang Bersekutu (Rencana) Harian Metro Husain Jahit berkata, kejohanan itu bakal memberi cabaran kerana menyediakan laluan agak panjang yang bukan saja terbuka, malah berbukit.

“Laluan kali ini pasti menarik dengan pemandangan indah suasana perkampungan, tasik dan sawah padi.

“Laluan sejauh 48 kilometer itu menyediakan pelbagai bentuk halangan untuk dilalui peserta, sekali gus menguji daya ketahanan fizikal, mental serta kemahiran teknikal berbasikal lasak, ditambah pula laluan pasti lebih mencabar jika hujan,” katanya semalam.

Husain berkata, semua persiapan pentas utama, khemah serta gerai dan tempat pelepasan di perkarangan Bukit Merah sudah siap, malah keadaan trek juga berada dalam keadaan baik.

“Saya harap pertandingan ini dapat memupuk semangat kesukanan tinggi, selain merapatkan hubungan dalam kalangan peserta,” katanya.

Lima kategori dipertandingkan iaitu Lelaki Junior (19 tahun ke bawah), Terbuka Lelaki (20 hingga 35 tahun), Lelaki Junior Master (36 hingga 44 tahun), Lelaki Senior Master (45 tahun ke atas) dan Terbuka Wanita.

Kejohanan kali ini turut mendapat kerjasama Affin Bank Group, Honda Malaysia Sdn Bhd, Polygon, Deuter, Tesco Stores (Malaysia) Sdn Bhd dan Bukit Merah Laketown Resort.

Saingan kali ini turut diserikan dengan kehadiran 26 peserta antarabangsa kali ini termasuk dari Perancis, Jerman, Singapura dan Thailand.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Julai 2017 @ 4:48 AM