Dah kena tunda. Kena bayar kompaun tunda dan kompaun kesalahan. - Foto AIZUDDIN SAAD
Dah kena tunda. Kena bayar kompaun tunda dan kompaun kesalahan. - Foto AIZUDDIN SAAD
Kereta mewah atau tidak tetap tidak terlepas daripada disaman. - Foto AIZUDDIN SAAD
Kereta mewah atau tidak tetap tidak terlepas daripada disaman. - Foto AIZUDDIN SAAD
Pemandu kereta persendirian dan teksi yang disaman kerana meletak kenderaan sesuka hati. - Foto AIZUDDIN SAAD
Pemandu kereta persendirian dan teksi yang disaman kerana meletak kenderaan sesuka hati. - Foto AIZUDDIN SAAD
BERNAMA

Kuala Lumpur: Sikap angkuh dan pentingkan diri pemandu yang meletakkan kenderaan sesuka hati di bahu jalan di sini, menerima pembalasan hari ini apabila 79 pemandu disaman menerusi Operasi Halang Siri 36/2016.

Operasi bersepadu di beberapa kawasan, termasuk Lebuh Pasar, Jalan Tun Tan Siew Sin dan Jalan Tun Tan Cheng Lock itu membabitkan anggota Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Polis Trafik dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Timbalan Pengarah Kanan Jabatan Penguatkuasaan DBKL, Osman Ismail berkata tindakan penguatkuasaan itu dilakukan terhadap kenderaan perdagangan dan persendirian yang melakukan kesalahan seperti meletakkan kenderaan di bahu jalan sehingga mengganggu perjalanan trafik.

Menurutnya, lima teksi dan lima bas awam turut dikenakan notis kompaun kerana kesalahan itu serta membawa teksi tanpa permit atau tidak menampal pelekat aduan di belakang teksi dan mengambil serta menurunkan penumpang di kawasan dilarang.

"Tindakan notis kompaun dan tunda dilakukan mengikut Kaedah-kaedah Lalulintas Jalan 1959 dan kadar kompaun dikenakan adalah dari RM150," katanya selepas di sini.

Sejak operasi dijalankan dari Januari hingga 13 Oktober lalu, 2,075 notis dikeluarkan dan 43 kenderaan persendirian serta perdagangan ditunda.

Menurut Osman, sikap tidak bertanggungjawab pemilik kenderaan masih menjadi faktor utama perbuatan itu berterusan.

Beliau juga meminta pesalah trafik yang belum menjelaskan bayaran kompaun DBKL supaya segera berbuat demikian kerana DBKL menawarkan diskaun khas sehingga 31 Disember.

Antara diskaun itu ialah RM20 bagi motosikal, RM30 (kereta, van, lori kecil dan SUV) dan RM100 (jentera berat seperti bas, lori besar dan kren).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Oktober 2016 @ 11:12 PM