ANGGOTA Penguatkuasaan Bahagian Trafik DBKL mengeluarkan saman ketika operasi di Kuala Lumpur, Mei lalu. FOTO arkib NSTP
ANGGOTA Penguatkuasaan Bahagian Trafik DBKL mengeluarkan saman ketika operasi di Kuala Lumpur, Mei lalu. FOTO arkib NSTP
Rizanizam Abdul Hamid


SEBANYAK 3.2 juta pesalah trafik Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) masih gagal menjelaskan kompaun keseluruhan dianggarkan lebih RM10 juta bagi tempoh tiga tahun bermula 2014 hingga 2016.

Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Loga Bala Mohan berkata, bagi memastikan jumlah terbabit dapat dikutip dan tidak membebankan pengguna, DBKL menawarkan diskaun kompaun 'flat rate' bermula 15 Disember ini hingga 28 Februari tahun depan.

"Melalui diskaun ini, pesalah hanya dikenakan kompaun RM20 untuk motosikal, RM30 (kereta) dan RM50 untuk bas serta lain-lain kenderaan bagi setiap notis kompaun yang dikeluarkan.

"Bagaimanapun, tawaran kadar khas ini tertakluk kepada kesalahan lalu lintas sahaja dan tidak termasuk kes yang telah dibawa ke mahkamah serta kes senarai hitam," katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis Penghargaan Bersama Agensi Sahabat Sempena Hari Penguatkuasa Ke-48 2017 Jabatan Penguatkuasaan DBKL di Kuala Lumpur, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 November 2017 @ 5:30 PM