DR Loga (kanan) mengibarkan bendera sebagai simbolik pelepasan Program KL Pagi Bebas Kenderaan.
DR Loga (kanan) mengibarkan bendera sebagai simbolik pelepasan Program KL Pagi Bebas Kenderaan.
ORANG ramai yang menyertai Program KL Pagi Bebas Kenderaan.
ORANG ramai yang menyertai Program KL Pagi Bebas Kenderaan.
Oleh Fazurawati Che Lah


Kuala Lumpur: Sempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2016 pada 1 Februari ini, orang ramai berpeluang menikmati diskaun kompaun trafik serendah RM30 yang dikeluarkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) hingga hujung Januari ini.

Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Dr Loga Bala Mohan berkata, kempen Jom Bayar Saman itu menetapkan kadar rata RM50 dan RM30 diberikan kepada pesalah trafik membabitkan kereta dan motosikal.

“Diskaun RM50 bagi kereta dan RM30 bagi motosikal diberikan selama satu bulan Februari ini.

“Diskaun 10 peratus turut diberikan kepada peniaga yang menyambung lesen perniagaan bagi tempoh tiga tahun,” katanya selepas melancarkan ‘KL Car Free Morning’ dan Kempen Kibaran Wilayah Persekutuan sempena sambutan itu di sini, semalam.

Hadir sama, Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Mhd Amin Nordin Abd Aziz.

Setakat ini, DBKL merekodkan dua juta notis saman yang belum dijelaskan pesalah membabitkan pelbagai kesalahan trafik termasuk meletakkan kenderaan di atas siar kaki, ingkar arahan lampu isyarat dan papan tanda serta halangan berbahaya.

Setiap kesalahan dikenakan kadar minimum antara RM100 hingga RM300 mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, sempena kempen kibaran, 45,000 bendera diedarkan di sekitar Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan bagi menyemarakkan sambutan kali ini bertemakan ‘Wilayah Ceria Rakyat Sejahtera’.

“Melalui kempen kibar bendera ini diharapkan nilai murni seperti rasa sayang datang kepada Wilayah Persekutuan dapat disemai bagi mencapai matlamat membangunkan kecemerlangan Wilayah Persekutuan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 January 2016 @ 5:38 AM